Noor Hidayah Tanzizi

Seri Iskandar: Polis sudah mengenal pasti dan akan meningkatkan pemantauan di lima laluan tikus di daerah ini yang digunakan penduduk setempat untuk melakukan pergerakan rentas daerah terutama musim durian ketika ini.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah Superintendan Barudin Wariso berkata, pihaknya menjangkakan akan ada ramai penduduk menggunakan laluan berkenaan kerana musim durian sudah bermula untuk melihat dusun mereka.

Menurutnya, setakat ini pihaknya tidak melakukan sekatan jalan raya di lokasi berkenaan dan hanya mempunyai tiga sekatan jalan raya (SJR) utama di daerah itu.

"Sebanyak lima laluan tikus sudah dikenal pasti membabitkan laluan yang menghubungkan ke Manjung, Kuala Kangsar, Kampar dan Batu Gajah.

"Walaupun tiada SJR di laluan itu tetapi pasukan pemantau dan 'snap check' sentiasa melakukan pemantauan secara berkala di laluan berkenaan terutama ketika musim durian sudah bermula," katanya selepas pemantauan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 di sebuah kilang ubat di sini, hari ini.

BARUDIN. FOTO Noor Hidayah Tanzizi
BARUDIN. FOTO Noor Hidayah Tanzizi

Barudin berkata, pihaknya sudah mengeluarkan 117 kompaun dengan 43 daripadanya adalah kesalahan rentas daerah tanpa surat kebenaran pihak sejak 1 Jun lalu hingga semalam.

"Kesalahan rentas daerah dikenakan kompaun RM5,000 setiap seorang dan kebanyakan mereka melalui laluan tikus dengan memberikan pelbagai alasan tidak logik seperti tidak tahu sempadan daerah.

"Sebanyak tujuh kompaun dikeluarkan termasuk enam lelaki yang sedang bersembang dikompaun RM1,500 setiap seorang kerana berkumpul tanpa penjarakan fizikal di Kampung Gajah, semalam," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Jun 2021 @ 3:21 PM