Mohd Rizal Azman Rifin

Bumi Taif begitu dekat di hati umat Islam khususnya mereka yang datang mengerjakan ibadat  haji dan umrah.

Dilihat dari segi geografi, Taif terletak di barat Arab Saudi yang jaraknya dari Makkah sekitar 80 kilometer.

Ia boleh dikunjungi dengan bas dan teksi yang mengambil masa kira-kira dua jam.

Bumi Taif sangat kaya dengan nilai sejarah yang berkaitan perjalanan  dakwah Rasulullah SAW dan sahabat Baginda.

Banyak kisah yang dapat kita baca menerusi buku sejarah Islam terdahulu dan kesan peninggalannya masih dapat dijejaki hingga ke hari ini.

Jemaah haji atau  umrah pasti tidak akan melepaskan peluang menjejakkan kaki di sana.

“Baru-baru ini saya berkesempatan bersama jemaah JAD Travel mengunjungi Taif dan melawat lokasi bersejarah.

“Semua itu meninggalkan kesan mendalam dalam hati apabila terimbau setiap penderitaan Rasulullah SAW dan sahabat Baginda.

“Zaid bin Harithah turut melakukan ‘hijrah’ secara tidak rasmi ke sana  untuk berdakwah,” kata pensyarah Politeknik Muadzam Shah, Pahang, Mohd Rizal Azman Rifin yang berkongsi pengalamannya dengan wartawan, Mohd Fadly Samsudin.

Selain mengimbau kembali detik awal kedatangan Islam ke Taif, kami diberitahu oleh mutawif, Ustaz Badrul Hakimi bahawa Taif ada kaitannya dengan sahabat Nabi SAW yang tidak asing lagi iaitu Abdullah bin Abbas atau lebih dikenali sebagai Ibnu Abbas.

Tatkala bas mula memasuki Kota Taif, kami terserempak dengan nama Ibnu Abbas yang tertera pada pintu gerbang yang gah berdiri seakan-akan menyambut kehadiran pengunjung.

Nama Ibnu Abbas adalah nama ‘pujaan’ masyarakat Taif sehingga kini kerana di sanalah beliau menghabiskan hayatnya menyampaikan ilmu agama dan seruan dakwah Islam dengan bersunguh-sungguh.

Malah, di bumi Taif juga Ibnu Abbas menghembuskan nafas-nya yang terakhir.

Meskipun tidak berpeluang memasuki kawasan makam Ibnu Abbas secara dekat, tetapi hati kami tetap puas apabila berjaya juga menjejaki bumi yang dicintai Rasulullah SAW dan sahabatnya, Ibnu Abbas itu.

Tidak jauh dari makam itu, terletak  sebuah masjid diberi nama Masjid Ibnu Abbas bagi mengenang sumbangan serta jasa beliau yang cukup tinggi kepada masyarakat Islam di Taif dan sekitarnya dahulu.

Tidak lengkap berada di Taif seandainya kita tidak memasuki Masjid Ibnu Abbas.

Kesegaran dan kedinginan cuaca di kawasan itu tidak sesekali mematahkan semangat kami untuk duduk lebih lama di dalam masjid itu.

Apatah lagi apabila hati dan fikiran terkenangkan sejarah silam yang menginsafkan.

Masjid Ibnu Abbas tidak pernah sunyi dan sentiasa dikunjungi jemaah umrah yang datang dari seluruh dunia.

Sebelum pulang semula ke Kota Makkah, rombongan kami sempat singgah ke bazar buah-buahan yang terletak tidak jauh dari pusat bandar Taif.

Kebanyakan  buah-buahan yang terdapat di situ terdiri daripada jenis beriklim Mediterranean manakala ada sedikit yang diimport dari negara luar beriklim tropika.

Sesungguhnya bumi Taif memperoleh berkat hasil doa Rasulullah SAW dan sahabat Baginda kerana  bukan sahaja masyarakatnya beragama Islam dengan  berpegang teguh pada ajaran tauhid, tetapi keberkatan itu turut ‘tempias’ sama kepada buminya sehingga ia menjadi subur dan menghijau.

Taif kini terkenal sebagai kawasan sumber hasil agrotani yang kaya dengan kepelbagaian hasil pertanian yang memberi pendapatan lumayan kepada penduduknya.

Sayang sekali, kunjungan kami hanya sehari. Berat hati mahu meninggalkan bumi Taif yang dingin dan subur itu namun apakan daya kami perlu berpatah balik ke Kota Makkah bagi mengerjakan tawaf Wada’ sebagai tanda kami akan pulang ke tanah air.”

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Disember 2019 @ 11:57 AM