FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Nurul Hidayah Bahaudin


POLIS mengenal pasti 13 sindiket penipuan pelaburan dalam talian dipercayai aktif menjalankan kegiatan itu sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula Mac lalu.

Ia dikenal pasti sebagai i-Rakyat Trade, IQ Option, Global Investement, Wei Jian Zhi, Olymp Trade, AA Anthony, Global Trader, People Global Network dan Rakuten Trade.

Turut dikesan disyaki melakukan penipuan ialah Wine Exchange China, GWFX Global, Private Investment Trade Dubai (PITD) serta London Stock Exchanges (LSE).

Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Saiful Azly Kamaruddin berkata, sindiket itu menggunakan platform media sosial seperti Facebook, Wechat, Instagram, Telegram dan WhatsApp untuk melakukan promosi pelaburan mereka bagi mengumpan mangsa.

"Sindiket ini menjanjikan pakej serta keuntungan lumayan seperti pulangan wang 13 kali ganda daripada modal dilaburkan, mampu memperoleh keuntungan dalam masa singkat dan menunjukkan jumlah keuntungan bagi meyakinkan mangsa membuat pelaburan.

"Mereka juga licik 'memerah' lebih banyak wang daripada mangsa dengan mengenakan caj tambahan yang didakwa untuk bayaran cukai seperti yuran perjanjian, bayaran kelulusan Bank Negara Malaysia (BNM), cukai antarabangsa dan lain-lain," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat JSJK Bukit Aman di Menara KPJ, Kuala Lumpur, hari ini.

Saiful Azly berkata, pihaknya menerima sebanyak 672 laporan berkaitan penipuan pelaburan membabitkan kerugian berjumlah RM93.7 juta bagi tempoh 1 Januari hingga 15 Julai lalu.

"Daripada jumlah itu, 467 kes diterima dengan jumlah kerugian mencecah RM52.7 juta membabitkan penipuan pelaburan dalam talian, manakala selebihnya adalah penipuan pelaburan secara bersemuka.

"Justeru, orang ramai dinasihatkan tidak mudah percaya dengan testimoni atau janji palsu ditawarkan pihak tertentu yang menjanjikan pulangan lumayan dalam masa singkat.

"Sebaiknya, semak dan dapatkan maklumat lanjut daripada sumber rasmi seperti aplikasi 'semakmule' dan BNM, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sebelum membuat keputusan untuk membuat pelaburan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Julai 2020 @ 2:26 PM