GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Kuala Lumpur: Menjanjikan pulangan hingga lebih setengah juta ringgit seawal tiga jam selepas pelaburan dibuat.

Itu antara taktik digunakan sindiket dikenali Pelaburan Philip bagi menjerat mangsa.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, sindiket terbabit menggunakan logo sebuah syarikat kewangan antarabangsa, Phillip Capital untuk memperdaya mangsa.

"Melalui promosi yang dibuat menerusi aplikasi Telegram, pelabur ditawarkan pakej pelaburan serendah RM 500 hingga RM10,000.

"Sindiket terbabit menjanjikan keuntungan bermula RM15,000 sehingga RM610,000 seawal tiga jam selepas pelaburan dibuat," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, pihak sindiket menggunakan logo syarikat terbabit untuk mencipta gambaran seolah-olah skim pelaburan itu dikendalikan syarikat kewangan yang mempunyai cawangan di seluruh dunia.

Ramli berkata, setakat ini pihaknya menerima satu laporan berhubung modus operandi itu membabitkan kerugian bernilai RM10,370.

"Satu laporan turut dibuat oleh syarikat Phillip Capital bagi menafikan penglibatan mereka dalam skim pelaburan berkenaan. Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan (menipu)," katanya

Dalam pada itu, beliau menasihati orang ramai supaya melakukan semakan terperinci dan tidak mudah terpedaya dengan pelaburan yang menjanjikan pulangan yang tidak masuk akal.

Tambahnya, sebuah syarikat kewangan tulen tidak akan mempromosikan skim pelaburan menerusi mana-mana kumpulan sembang di media sosial.

"Dapatkan maklumat lanjut sebelum menyertai mana-mana skim pelaburan dari sumber rasmi seperti, Alert List Bank Negara Malaysia, dan Suruhanjaya Keselamatan (SC) sebelum membuat keputusan untuk menyertai skim pelaburan yang meragukan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Ogos 2023 @ 9:12 PM