Aizat Sharif

Kangar: Walaupun bergelar orang kurang upaya (OKU) penglihatan, ia bukan penghalang buat Halijah Che Ibrahim, 80, untuk mendapatkan suntikan vaksin Covid-19.

Dia bersama adiknya yang juga OKU penglihatan, Che Manai, 74, dan Che Zainah, 69, tetap mahu mengambil vaksin seperti yang disarankan oleh kerajaan.

"Apabila kami terima berita ada pihak yang mahu bawa kami untuk daftar dan ambil vaksin ini, kami rasa cukup lega.

"Alhamdulillah, kami dapat daftar sebelum terus divaksin," katanya ditemui pada program vaksin Covid-19 untuk kelas al-Quran dan braille di Masjid Tuanku Syed Putra Jamalullail di sini, hari ini.

Katanya, mereka setuju untuk disuntik kerana golongan warga emas seperti mereka berisiko dan mudah dijangkiti Covid-19.

"Sebelum ini, ramai datang ke rumah makcik dan makcik risau kerana tidak tahu siapa dan dari mana mereka datang.

"Tambahan pula, warga emas seperti kami adalah golongan berisiko. Apabila sudah divaksin, kuranglah rasa risau," katanya.

Usahawan kraftangan OKU penglihatan, Roslan Bidin, 49, menyifatkan, pemberian vaksin ini sekurang-kurangnya membuatkan golongan sepertinya tidak berasa sangsi apabila berada dalam kalangan masyarakat.

"Dengan pemberian vaksin ini, kita tidak rasa was was lagi.

"Alhamdulillah, ada yang prihatin dengan keperluan kesihatan kami," katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri Perlis (Bahagian Kesihatan Awam) Dr Mohd Safiee Ismail berkata, inisiatif yang dilaksanakan ini termasuk dalam inisiatif vaksin bergerak.

Ia disasarkan kepada golongan seperti warga emas terlantar, OKU dan warga emas di rumah penjagaan orang tua.

"Seramai 60 orang mendaftar untuk menerima vaksin pada hari ini. Ia membabitkan 18 OKU penglihatan dan bakinya adalah penjaga mereka.

"Inisiatif ini dibuat kerana golongan ini sukar untuk ke Pusat Pemberian Vaksin. Kami mensasarkan 600 OKU di negeri ini untuk menerima suntikan ini," katanya.

HALIJAH (kanan) bersama adiknya, Che Manai dan Che Zainah menerima suntikan vaksin daripada pasukan vaksin bergerak dari PPV Dewan 2020 di Masjid Tuanku Syed Putra Jamalullail, Kangar. FOTO Aizat Sharif
HALIJAH (kanan) bersama adiknya, Che Manai dan Che Zainah menerima suntikan vaksin daripada pasukan vaksin bergerak dari PPV Dewan 2020 di Masjid Tuanku Syed Putra Jamalullail, Kangar. FOTO Aizat Sharif

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Jun 2021 @ 2:29 PM