Zaid Salim

Kuala Terengganu: "Tak sakit pun, rasa macam digigit semut gatal je...," kata Wook Abd Rahman selepas menerima vaksin Covid-19 menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Fasa 2 peringkat negeri Terengganu, hari ini.

Warga emas berusia 84 tahun dari Kampung Bukit, di sini, antara 192 golongan berisiko yang menerima suntikan vaksin berkenaan pada program dilaksanakan di Pusat Sains Dan Kreativiti Terengganu.

Dia yang ditemani menantu, Arbaiah Mohamed, 71, berkata golongan berisiko dan warga emas tidak perlu bimbang untuk mendapatkan vaksin berkenaan.

Katanya, pengambilan vaksin penting sebagai langkah mencegah daripada penularan wabak Covid-19 daripada terus merebak.

"Jangan takut, tak ada rasa apa-apa pun, macam biasa," katanya yang mengakui berasa lega selepas menerima dos pertama vaksin Covid-19.

Wook Abd Rahman kelihatan ceria selepas  menerima vaksin COVID-19. FOTO GHAZALI KORI
Wook Abd Rahman kelihatan ceria selepas menerima vaksin COVID-19. FOTO GHAZALI KORI

Seorang lagi penerima, Thaviee @ Devi Ramiah, 72, dari Jalan Air Jernih, di sini, berkata, pengambilan vaksin bagi golongan warga emas penting kerana golongan terbabit berisiko tinggi dijangkiti wabak berkenaan.

Katanya, dia gembira apabila menjadi penerima terawal vaksin berkenaan menerusi Program PICK Fasa 2 kerana menyedari pengambilan vaksin sangat mustahak sebagai pelindung diri.

"Golongan warga emas berisiko tinggi dijangkiti wabak ini dan saya pula penghidap kencing manis, jadi saya sangat gembira terpilih awal sebagai penerima.

"Rakyat Malaysia terutama warga emas dan mereka yang menghidap penyakit seperti kencing manis, jantung atau apa juga penyakit yang belum mendaftar sebagai penerima disarankan supaya membuat pendaftaran bagi membolehkan diberi suntikan berkenaan.

"Suntikan ini bagus bagi golongan warga emas dan saya tidak sabar menunggu untuk suntikan dos kedua," katanya.

Pada program itu, seramai 162 daripada 258,000 golongan berisiko membabitkan warga emas dan orang kurang upaya (OKU) menerima suntikan dos pertama vaksin Covid-19.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 April 2021 @ 4:28 PM