GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Jumlah keseluruhan pemberian dos pertama dan kedua vaksin Covid-19 di negara ini setakat semalam mencecah 5,675,002 dos, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.

Beliau berkata, seramai 1,588,915 individu melengkapkan dua dos vaksin manakala 4,086,087 individu menerima dos pertama.

Lima negeri yang mencatatkan penerima kedua-dua dos tertinggi ialah Selangor dengan 207,077 diikuti Sarawak (181,690), Johor (161,082), Perak (147,250) dan Kuala Lumpur (141,071), katanya menerusi akaun Twitter hari ini.

Mengenai vaksinasi harian bagi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Dr Adham berkata, 164,282 dos diberikan semalam membabitkan 128,400 penerima suntikan pertama manakala 35,882 lagi dos kedua.

Sementara itu, berdasarkan laporan harian jumlah pendaftaran kumulatif vaksin dalam laman sesawang www.vaksincovid.gov.my, sebanyak 15,072,779 pendaftaran direkodkan setakat semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Jun 2021 @ 11:20 AM