Barang yang terdiri daripada pelbagai jenama makanan burung, tali hidung lembu, loceng leher lembu dan penyangkut sangkar burung yang dirampas. FOTO IHSAN PGA
Barang yang terdiri daripada pelbagai jenama makanan burung, tali hidung lembu, loceng leher lembu dan penyangkut sangkar burung yang dirampas. FOTO IHSAN PGA
Siti Rohana Idris


Tumpat: Aktiviti beberapa individu sedang memunggah sejumlah guni dari sebuah bot di tebing Sungai Golok, di sini, tergendala apabila diserbu pihak berkuasa, hari ini.

Dalam kejadian pada 5.45 pagi, mereka bertindak melarikan diri menggunakan perahu menuju ke negara jiran dengan meninggalkan bungkusan guni yang sempat dipindahkan ke dalam sebuah kereta.

Hasil pemeriksaan mendapati guni itu mengandungi paket makanan burung pelbagai jenama, tali hidung lembu, loceng leher lembu serta penyangkut sangkar burung dianggarkan bernilai RM28,137.

Pegawai Pemerintah Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA7), Superintendan Azhari Nusi berkata, anggotanya ternampak beberapa lelaki sedang mengangkat guni dari dalam bot ketika meronda di sekitar kawasan Pangkalan Haram Tanjung, Pengkalan Kubor, di sini.

Katanya, bungkusan guni itu dipindahkan dari bot ke dalam sebuah kereta Proton Waja di situ.

"Anggota PGA7 cuba menghampiri kenderaan itu dan kesemua lelaki terbabit melarikan diri dengan menaiki perahu ke negara jiran (Thailand).

"Kami menunggu selama 30 minit di lokasi, namun tiada individu datang menuntut kereta terbabit.

"Hasil pemeriksaan lanjut menjumpai beberapa guni mengandungi 1,860 paket makanan burung pelbagai jenama, tali hidung lembu (900), loceng leher lembu (250) serta penyangkut sangkar burung (440)," katanya ketika dihubungi, di sini.

Azhari berkata, pihaknya percaya semua barangan itu diseludup ke negara ini dari Thailand.

Katanya, semua rampasan termasuk kenderaan dibawa ke Kompani Taktikal Kuala Jambu untuk tindakan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Jun 2021 @ 2:02 PM