KENDERAAN berisi gula dan minyak masak yang ditinggalkan penyeludup. FOTO Ihsan PGA
KENDERAAN berisi gula dan minyak masak yang ditinggalkan penyeludup. FOTO Ihsan PGA
Siti Rohana Idris


Tumpat: Terkejut akibat diserbu pihak berkuasa, beberapa individu dipercayai penyeludup melarikan diri dengan meninggalkan kenderaan di tebing Sungai Golok di sini.

Kereta yang ditinggalkan di pangkalan haram Pok Kob rupanya dipenuhi kotak yang mengandungi gula pasir dan minyak masak untuk diseludup ke Thailand.

Pegawai Pemerintah Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA7), Superintendan Azhari Nusi berkata, serbuan dijalankan pada 4.30 petang semalam oleh anggotanya di sekitar Kampung Simpangan sempena Op Kontraban.

"Serbuan dibuat bersama pegawai dan anggota Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna di tebing sungai pangkalan haram Pok Kob.

"Sekumpulan lelaki yang berada di lokasi menyedari kehadiran kami dan bertindak melarikan diri dengan menaiki bot galah ke arah negara jiran (Thailand) dan meninggalkan sebuah kereta," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Azhari berkata, hasil pemeriksaan dalam kenderaan itu menjumpai beberapa kotak yang mengandungi 144 paket gula pasir serta 170 paket minyak masak yang dianggarkan bernilai RM1,083.20.

Menurutnya lagi, semua barang kawalan itu akan diseludup ke Thailand menggunakan bot galah menyeberang Sungai Golok.

"Semua rampasan termasuk kenderaan dibawa ke Kompani Taktikal Kuala Jambu untuk siasatan dan tindakan lanjut.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Jun 2021 @ 8:18 AM