ZULKEFLY Mohamad Omar. FOTO arkib NSTP
ZULKEFLY Mohamad Omar. FOTO arkib NSTP
Mohd Amin Jalil


Seremban: Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan bersedia untuk mengadakan persidangan pada bila-bila masa selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Yang Dipertua DUN Negeri Sembilan, Datuk Zulkefly Mohamad Omar berkata, pihaknya berpendirian bahawa saranan Al-Sultan Abdullah itu bukan sahaja mengusulkan agar Parlimen segera bersidang tetapi juga DUN di negeri.

Sehubungan itu katanya, pihaknya akan berbincang dengan Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun dalam masa terdekat bagi mendapatkan tarikh sesuai untuk sidang DUN dijalankan.

"Kita (kerajaan negeri) tidak ada masalah untuk mengadakan persidangan DUN dan saya akan berjumpa dan berbincang dengan MB untuk mencari tarikh sesuai.

"DUN Negeri Sembilan menjunjung kasih dengan pendirian baginda, kita juga sememangnya mahu sidang DUN segera dilaksanakan, banyak perkara yang perlu kelulusan DUN.

"Tambahan pula dengan peningkatan kes Covid-19 di negeri ini dan ia perlu dibincangkan di dalam DUN termasuk hal membabitkan kepentingan rakyat dan negeri ini," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Zulkefly berkata, bagaimanapun biar Parlimen bersidang dulu dan kemudian disusuli DUN Negeri Sembilan.

Beliau berkata, pihaknya akan mengeluarkan notis pemakluman kepada semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) sebaik mendapat tarikh sesuai.

"Kita akan beri notis meminta jika ADUN mempunyai soalan untuk diajukan dan kita juga akan masukkan agenda-agenda persidangan," katanya.

Kali terakhir sidang DUN Negeri Sembilan diadakan pada awal Disember lalu membabitkan pembentangan Bajet 2021.

Berita berkaitan:

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Jun 2021 @ 11:25 AM