Foto hiasan
Foto hiasan
Izwan Abdullah

Kota Kinabalu: Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah tidak terbubar walaupun tidak mengadakan persidangan dalam tempoh enam bulan daripada persidangan terakhirnya sebelum ini.

Menjelaskan perkara itu, Speaker DUN Sabah Datuk Kadzim M Yahya berkata, Seksyen 15 (1) (a) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 memperuntukkan pengecualian terhadap Perkara 21 (1) Perlembagaan Negeri Sabah mengenai persidangan DUN.

Sehubungan itu, beliau menafikan dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan DUN Sabah berdepan risiko terbubar secara automatik jika tidak bersidang sebelum 1 Ogos ini.

"Walaupun Perkara 21 (1) Perlembagaan Negeri Sabah memperuntukkan bahawa DUN Sabah hendaklah bersidang dalam tempoh enam bulan daripada tempoh terakhir bersidang tetapi Seksyen 15 (1) (a) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 memperuntukkan pengecualian kepada Perkara 21 (1) Perlembagaan Negeri Sabah.

"Oleh itu, orang ramai adalah diminta supaya tidak keliru disebabkan DUN Sabah belum mengadakan persidangan sejak Sidang Bajet 2021 pada Disember 2020 yang lalu," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Bagaimanapun, Kadzim berkata, DUN Sabah sudah bersedia untuk mengadakan persidangan pada bila-bila masa yang ditetapkan kerajaan negeri.

Ketua Menteri Sabah Datuk Hajiji Noor sebelum ini menyatakan bahawa kerajaan negeri bersedia untuk mengadakan persidangan DUN pada bila-bila masa sejajar pembukaan semula Parlimen.

Berikutan itu, beberapa pihak, khususnya pembangkang menggesa agar kerajaan negeri mengadakan persidangan DUN dalam kadar segera termasuk diadakan lebih awal sebelum sidang khas Parlimen yang dijadualkan selama lima hari bermula 26 Julai ini.

Sehingga kini, belum ada perkembangan terbaharu mengenai penetapan tarikh persidangan DUN oleh kerajaan negeri.

Kali terakhir persidangan DUN Sabah diadakan ialah pada 18 Disember lalu bagi membentangkan Belanjawan Negeri 2021.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Julai 2021 @ 8:22 AM