SAIFUL Azly pada sidang akhbar. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman
SAIFUL Azly pada sidang akhbar. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Polis memberi amaran kepada pemilik unit kondominium dan apartmen supaya tidak menyewakan kediaman mereka bagi tujuan parti liar dan akan berdepan tindakan undang-undang sekiranya didapati melakukan kesalahan itu.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Saiful Azly Kamaruddin berkata, pemilik yang didapati melakukan kesalahan itu boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 13(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

"Kami memandang serius gejala parti liar ini dan kali ini bukan mereka yang terbabit saja dikenakan tindakan malah pemilik juga," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Saiful Azly berkata, pihaknya menahan 67 individu termasuk 22 wanita dalam enam serbuan parti liar berasingan di Dang Wangi dan Wangsa Maju dalam serbuan bermula 1 hingga 15 Disember lalu.

Katanya, semua suspek yang ditahan dalam enam serbuan berkenaan berusia antara 14 hingga 64 tahun.

"Dalam serbuan itu, kami merampas pelbagai jenis dadah termasuk syabu, ketamin, ganja, pil ekstasi dan pil erimin 5.

"Hasil ujian saringan awal air kencing dilakukan mendapati semua suspek positif jenis syabu, amphetamine, ganja dan benzodiazepine.

"Kes itu disiasat mengikut Seksyen 12 (2) ADB 1952 dan Seksyen 15 (1) (a) akta sama," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Disember 2020 @ 4:00 PM