FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Oleh Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan meneruskan pemantauan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang dilanjutkan untuk tempoh dua minggu lagi.

Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman Datuk Zainal Abidin Kasim berkata, ia bagi memastikan orang ramai mematuhi SOP ditetapkan kerajaan.

"Kita (polis) teruskan pemantauan seperti biasa dan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang melanggar SOP ditetapkan.

"Begitu juga di sekatan jalan raya (SJR), hanya individu yang mempunyai kebenaran perjalanan sahaja dibenarkan melepasi sekatan. Jika ada yang cuba melanggar SOP, kita ambil tindakan," katanya dihubungi hari ini.

Beliau berkata, pihaknya akan mengekalkan jumlah SJR sedia ada kerana setakat ini ia mencukupi dalam memantau pergerakan keluar masuk kenderaan.

Beliau menasihati orang ramai supaya patuh dengan SOP ditetapkan bagi mengawal penularan jangkitan Covid-19.

Semalam, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan PKP 3.0 dilanjutkan untuk tempoh dua minggu lagi sehingga 28 Jun ini.

Beliau dilaporkan berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) membentang dan mencadangkan dalam Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) dipengerusikan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam, supaya ia dilanjutkan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Jun 2021 @ 3:09 PM