Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Sebanyak 216 permohonan rentas negeri dan daerah ditolak di Terengganu dalam tempoh lima hari pelaksanaan Sekatan Perjalanan Penuh (SPP) bermula 1 Jun lalu.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa berkata, semua permohonan itu ditolak atas pelbagai alasan tidak munasabah termasuk gagal mengemukakan dokumen sokongan diperlukan selain menyalahguna dokumen dikeluarkan.

Beliau berkata, ada antara pemohon memberi alasan mahu menziarahi ibu bapa sakit, namun gagal memberikan dokumen daripada pihak berkaitan selain urusan pekerjaan dan perniagaan.

"Semalam sahaja, kita terima 655 permohonan dengan 18 daripadanya ditolak kerana gagal memenuhi syarat ditetapkan.

"Secara keseluruhan, sebanyak 5,756 permohonan diterima dalam tempoh lima hari ini," katanya ketika ditemui selepas melakukan Pemantauan Pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) PKP 3.0 Daerah Kuala Terengganu di Jambatan Sultan Mahmud, di sini, hari ini.

Rohaimi berkata, sebanyak 108 kompaun dikeluarkan dalam tempoh lima hari bermula 1 Jun lalu membabitkan pelbagai pelanggaran SOP seperti tidak memakai pelitup muka, melakukan rentas negeri dan daerah selain tidak mengamalkan penjarakan fizikal.

Beliau berkata, semua kompaun dikenakan itu antara RM1,500 hingga RM5,000 setiap seorang.

Menurutnya, terdapat 157 pasukan pematuhan membabitkan pelbagai agensi ditugaskan untuk melakukan pemantauan di seluruh Terengganu termasuk di Sekatan Jalan Raya (SJR), pasar raya dan sebagainya.

ROHAIMI memeriksa dokumen perjalanan pemandu kenderaan di SJR di Jambatan Sultan Mahmud, Kuala Terengganu, hari ini. FOTO GHAZALI KORI

ROHAIMI memeriksa dokumen perjalanan pemandu kenderaan di SJR di Jambatan Sultan Mahmud, Kuala Terengganu, hari ini. FOTO GHAZALI KORI


"Mengenai kemasukan kenderaan ke Terengganu melalui Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT), jumlah kemasukan kenderaan berkurangan 75 peratus, sekali gus menunjukkan kejayaan pihak penguatkuasaan menjalankan SJR terutama di Perasing, Kemaman.

"Semua kenderaan yang melalui LPT2 mempunyai surat kebenaran dengan kebanyakannya terdiri daripada mereka dalam sektor perkhidmatan perlu dan surat kebenaran Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Jun 2021 @ 6:03 PM