GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Irwan Shafrizan Ismail


Kuala Lumpur: Semua jabatan dan agensi penguatkuasaan di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) diarah meningkatkan bilangan operasi pemantauan dan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu melanggar prosedur operasi standard (SOP) yang diwartakan.

KDN dalam kenyataan hari ini berkata, arahan dikeluarkan bagi memastikan penularan pandemik Covid-19 dapat dibendung dengan lebih berkesan dan menyeluruh, terutama menjelang sambutan Aidilfitri minggu hadapan.

"Kementerian sudah mengarahkan semua jabatan dan agensi penguatkuasaantermasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen, Jabatan Penjara, Jabatan Sukarelawan, Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom), Agensi Antidadah Kebangsaan dan Agensi Kawalan Sempadan (AKSEM) untuk tingkatkan jumlah operasi pemantauan.

"Ambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang didapati melanggar SOP yang diwartakan.

"Selain menambahkan bilangan kekuatan anggota serta operasi Sekatan Jalan Raya (SJR), pemantauan ketat juga akan dijalankan bagi menghalang individu mengambil kesempatan merentas negeri atau daerah menggunakan pengangkutan awam seperti KTM Komuter, LRT, MRT, ERL, KL Monorail ataupun melalui perkhidmatan e-hailing," katanya.

Tambah kenyataan itu, semua pihak diminta terus patuh SOP yang diputuskan oleh kerajaan dan memberikan kerjasama jitu terhadap segala usaha serta langkah yang diambil bagi melindungi nyawa rakyat daripada ancaman pandemik Covid-19.

Semenjak PKP dilaksanakan dan sehingga kini, seramai 100,980 anggota dari pelbagai jabatan dan agensi KDN terbabit dalam penugasan Covid-19.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Mei 2021 @ 2:30 PM