BERNAMA

Georgetown: Kerajaan Pulau Pinang sudah mengenal pasti dua pusat pemberian vaksin (PPV) khas untuk 'economic frontliners', kata Ketua Menteri Chow Kon Yeow.

Menurutnya, menerusi kerjasama dengan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi; Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri serta Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang itu (JKNPP), PPV khas berkenaan yang membabitkan sektor perkilangan, peruncitan dan pelancongan, bertujuan meningkatkan kadar pemvaksinan.

"PPV khas itu masing-masing di bahagian pulau serta Seberang Perai," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, PPV khas itu adalah tambahan selepas penambahan PPV awam antaranya di Tapak Ekspo Seberang Jaya bermula 14 Jun dan Balai Rakyat Bayan Baru (22 Jun).

FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.

"Sekurang-kurangnya empat lagi PPV baharu akan beroperasi pada bulan ini bagi memastikan lebih ramai rakyat Pulau Pinang yang telah berdaftar diberikan vaksin pada kadar secepat mungkin," katanya.

Katanya, beliau juga telah memohon agar cadangan pelaksanaan PPV di lapangan membabitkan tiga syarikat multinasional, diluluskan pada kadar segera bagi meningkatkan kapasiti sedia ada.

Bagi program Unit Bergerak Vaksinasi membabitkan pusat penjagaan warga emas oleh JKNPP, Chow berkata sebanyak 87 pusat telah dikunjungi dan seramai 3,309 penjaga serta penghuni telah menerima suntikan vaksin.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Jun 2021 @ 2:29 PM