Chow Kon Yeow
Chow Kon Yeow
Nur Izzati Mohamad


Georgetown: Warga emas di Pulau Pinang yang belum menerima temujanji suntikan vaksin Covid-19 boleh hadir secara 'walk in' di pusat pemberian vaksin (PPV) yang ditetapkan pada 2 dan 3 Ogos ini.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata, keputusan itu diputuskan dalam mesyuarat Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) yang diadakan semalam.

Menurutnya, golongan warga emas sama ada yang berdaftar menerusi aplikasi MySejahtera atau sebaliknya dan belum memperoleh sebarang janji temu boleh hadir secara 'walk-in'.

"Bagi mereka yang menetap di daerah Seberang Perai Utara boleh hadir ke PPV Dewan Millenium manakala bagi daerah Seberang Perai Tengah (PPV SP Arena) dan Seberang Perai Selatan (PPV Dewan Serbaguna Jawi).

"Untuk mereka yang menetap dalam daerah Timur Laut dan Barat Daya pula boleh mengunjungi PPV di SPICE Convention Centre (SPICE CC) pada 3 Ogos selepas PPV itu memulakan operasi Ahad ini.

"Sila bawa dokumen diri khususnya kad pengenalan bagi proses pendaftaran serta imunisasi," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Katanya, sehingga kini Pulau Pinang sudah mencapai 51.1 peratus kadar suntikan dos vaksin pertama.

"Kerajaan negeri berjanji akan melipatgandakan lagi usaha ini bagi memastikan kita mencapai sasaran populasi dewasa negeri ini memperoleh sekurang-kurangnya satu dos suntikan vaksin lebih awal daripada sasaran iaitu pada awal September ini," katanya.

Dalam pada itu, Chow berkata, kerajaan negeri akan terus mengambil pendekatan 3T iaitu saringan, pengesanan kontak dan rawatan ke arah usaha memutuskan rantaian perebakan Covid-19 di negeri itu.

"Apa yang kita lihat kini termasuk rekod catatan kes tertinggi semalam adalah hasil saringan massa yang dilaksanakan bukan hanya oleh Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP), malah daripada Program Penang Saring Covid (PSC) percuma dan inisiatif sendiri pihak industri khususnya.

"Peningkatan kadar saringan adalah meliputi saringan kluster, kontak rapat dan lain-lain ekoran pertambahan kluster baru yang dilaporkan sepanjang tempoh minggu ini.

"Sehingga jam 12 tengah hari semalam, terdapat 51 kluster aktif dilaporkan iaitu 40 dari sektor perkilangan; tempat kerja (7); institusi pendidikan (2) dan tapak bina (2) malah, empat kluster baru yang dilaporkan semalam membabitkan sektor perkilangan membabitkan Daerah Seberang Perai Tengah dan Seberang Perai Selatan," katanya.

Menurutnya, berdasarkan laporan daripada JKNPP, sebanyak 155 kilang diarahkan ditutup pada tempoh Januari hingga 26 Julai lalu.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Julai 2021 @ 8:09 PM