Zuhainy Zulkiffli

Georgetown: Enam pusat pemberian vaksin (PPV) di bawah Program Imunisasi Industri Covid-19 Kerjasama Awam-Swasta (Pikas) Pulau Pinang sudah diluluskan bagi merancakkan lagi proses imunisasi membabitkan sektor industri dan perkilangan di negeri itu.

Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata, selain PPV Bukit Jawi Golf Resort yang sudah beroperasi sejak 16 Jun lalu, PPV di Hotel Equatorial juga bakal beroperasi bermula 28 Jun ini.

Menurutnya, selain dua PPV itu, tiga PPV lapangan iaitu membabitkan syarikat multinasional Intel Technology Sdn Bhd; Jabil Circuits Sdn Bhd dan Plexus Manufacturing Sdn Bhd akan beroperasi di Bayan Lepas di sini, manakala satu lagi di Batu Kawan iaitu Inari Amerton Berhad.

"Semua PPV itu akan terus beroperasi termasuk memberi perkhidmatan kepada kakitangan syarikat lain," katanya menerusi kenyataannya di sini, hari ini.

FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.

Dalam perkembangan lanjut, Kon Yeow berkata, berdasarkan data yang dikongsi Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) pada Mesyuarat Jawatankuasa Khas Keselamatan negeri, jangkitan di tempat kerja masih mencatatkan jumlah tertinggi.

Menuruntya, berdasarkan laporan terkini yang dibentangkan, terdapat 27 kluster kilang dan tiga bukan kilang diikuti dengan tapak binaan (dua) dan komuniti (dua), manakala pusat tahanan dan keagamaan masing-masing satu.

"Daripada aspek penguatkuasaan pula, sebanyak 101 kilang sudah diarahkan tutup disebabkan jangkitan Covid-19 bagi tempoh Januari hingga 20 Jun tahun ini dengan perangkaan tertinggi iaitu 45 buah di daerah Seberang Perai Tengah, Barat Daya (36), Seberang Perai Selatan (14) dan masing-masing tiga di Seberang Perai Utara dan Timur Laut.

"Anggota penguat kuasa semua agensi masih meneruskan operasi dari semasa ke semasa termasuk mengenal pasti kilang yang bertindak menipu serta menyembunyikan fakta sebenar.

"Kerajaan negeri menggunakan pelbagai pendekatan termasuk 'outreach' ke organisasi serta lokaliti bagi memastikan tiada golongan yang terpinggir," katanya.

Menurut Kon Yeow, menerusi data yang dikongsi Ketua Polis Pulau Pinang menunjukkan sebanyak 53 kes bunuh diri dilaporkan bagi tempoh Januari hingga Mei tahun ini.

Katanya, sebanyak 19 kes membabitkan cubaan bunuh diri juga turut dilaporkan dalam tempoh yang sama.

"Peningkatan perangkaan berkaitan akan diberi perhatian khusus oleh JKNPP yang mana aspek penekanan kesihatan mental juga perlu diberikan sewajarnya," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Jun 2021 @ 4:48 PM