PRODUK pencerah yang mempunyai racun berjadual. FOTO Ihsan KKM.
PRODUK pencerah yang mempunyai racun berjadual. FOTO Ihsan KKM.
Rafidah Mat Ruzki


Putrajaya: Orang awam dinasihatkan mengelak daripada membeli dan menggunakan produk kosmetik berjenama Brilliant Skin Essentials Whitening Facial Cream, berikutan ia dikesan mengandungi racun berjadual Tretinoin.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, notifikasi produk kosmetik itu dibatalkan oleh Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan (KKM).

Berikutan itu, beliau berkata, produk kosmetik terbabit tidak lagi dibenarkan untuk dijual di Malaysia.

"Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), KKM ingin menggesa orang awam untuk mengelak daripada membeli dan menggunakan produk kosmetik berikut kerana dikesan mengandungi racun berjadual.

"Produk yang mengandungi tretinoin adalah ubat yang perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah dan hanya boleh digunakan dengan nasihat profesional kesihatan.

"Penggunaan produk yang mengandungi bahan itu tanpa pengawasan profesional kesihatan boleh menyebabkan kesan sampingan yang tidak diingini seperti bahagian kulit yang disapu menjadi kemerahan, tidak selesa, pedih, menggelupas dan hipersensitif kepada cahaya matahari," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, orang awam yang sedang menggunakan produk kosmetik itu dinasihatkan segera menghentikan penggunaannya dan mendapatkan nasihat daripada ahli profesional kesihatan jika mengalami sebarang ketidakselesaan atau kesan advers.

Pada masa sama, beliau berkata, penjual dan pengedar produk kosmetik itu perlu menghentikan penjualan dan pengedaran produk kosmetik terbabit serta-merta kerana penjualan serta pengedaran produk kosmetik itu melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

Katanya, individu yang melakukan kesalahan mengikut Peraturan-Peraturan itu boleh didenda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya.

Selain itu, beliau berkata, syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan berikutnya.

"Orang awam digalakkan untuk menyemak status notifikasi sesuatu produk kosmetik dengan melayari laman sesawang rasmi NPRA www.npra.gov.my atau melalui aplikasi 'NPRA Product Status' yang boleh dimuat turun daripada Google Play Store," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Jun 2021 @ 5:45 PM