PRODUK kosmetik yang dikesan mengandungi racun. FOTO Ihsan KKM.
PRODUK kosmetik yang dikesan mengandungi racun. FOTO Ihsan KKM.
Irwan Shafrizan Ismail


Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerusi Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) menggesa orang awam mengelak daripada membeli dan menggunakan dua produk kosmetik kerana dikesan mengandungi racun berjadual.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, produk berkenaan adalah Beautywise Rejuvenating Cream Hydroquinone dan Tretinoin serta Beautywise Rejuvenating Toner Hydroquinone dan Tretinoin.

Beliau berkata, notifikasi produk kosmetik terbabit sudah dibatalkan oleh Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi, KKM.

"Oleh itu, produk kosmetik itu tidak lagi dibenarkan untuk dijual di Malaysia.

"Produk yang mengandungi hydroquinone dan tretinoin adalah ubat yang perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah dan hanya boleh digunakan dengan nasihat profesional kesihatan.

"Penggunaan produk yang mengandungi bahan ini tanpa pengawasan profesional kesihatan boleh menyebabkan pelbagai kesan sampingan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, hydroquinone boleh menyebabkan kemerahan pada kulit yang disapu, ketidakselesaan, perubahan warna kulit yang tidak diingini, kulit menjadi hipersensitif, boleh menghalang proses pigmentasi (depigmentasi) yang mengurangkan perlindungan kulit daripada pancaran sinar UV merbahaya dan boleh meningkatkan risiko kanser kulit.

Dr Noor Hisham berkata, penggunaan tretinoin tanpa pengawasan profesional kesihatan pula boleh menyebabkan bahagian kulit yang disapu menjadi kemerahan, tidak selesa, pedih, menggelupas dan hipersensitif kepada cahaya matahari.

Katanya, beliau mahu penjual dan pengedar produk kosmetik menghentikan penjualan dan pengedaran produk kosmetik itu dengan serta-merta.

"Penjualan dan pengedaran produk-produk kosmetik ini melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

"Individu yang melakukan kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan ini boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya.

"Syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya," katanya.

Katanya, orang awam yang sedang menggunakan produk kosmetik berkenaan dinasihatkan untuk segera menghentikan penggunaannya dan mendapatkan nasihat ahli profesional kesihatan jika mengalami sebarang ketidakselesaan atau kesan sampingan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 April 2021 @ 3:17 PM