PRODUK yang dikesan mengandungi racun berjadual. FOTO Ihsan KKM.
PRODUK yang dikesan mengandungi racun berjadual. FOTO Ihsan KKM.
Mahaizura Abd Malik


KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) membatalkan notifikasi tiga produk kosmetik berikutan mengandungi racun berjadual.

Tiga produk itu adalah Sifu Kunyit Day Cream yang mengandungi Hydroquinone, Tretinoin dan Betamethasone 17-Valerate; Sifu Kunyit Night Cream (Merkuri dan Betamethasone 17-Valerate) serta JJ Skincare Glowhite Night Cream (Hydroquinone).

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) menggesa orang awam mengelak daripada membeli dan menggunakan produk kosmetik terbabit.

Katanya, produk terbabit tidak lagi dibenarkan dijual di negara ini selepas notifikasi produk itu dibatalkan Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi kerana boleh menyebabkan kesan sampingan ke atas pengguna.

Menurutnya, produk yang mengandungi hydroquinone, tretinoin dan betamethasone valerate adalah ubat yang perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah dan hanya boleh digunakan dengan nasihat profesional kesihatan.

"Hydroquinone boleh menghalang proses pigmentasi (depigmentasi) yang mengurangkan perlindungan kulit daripada pancaran sinar UV merbahaya dan boleh meningkatkan risiko kanser kulit.

"Sementara, Betamethasone valerate boleh menyebabkan bahagian kulit muka yang disapu menjadi nipis dan mudah mengalami iritasi.

"Selain itu, penggunaan tretinoin tanpa pengawasan profesional kesihatan boleh menyebabkan bahagian kulit yang disapu menjadi kemerahan, tidak selesa, pedih, menggelupas dan hipersensitif kepada cahaya matahari," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selain itu, Dr Noor Hisham berkata, merkuri dilarang di dalam produk kosmetik kerana boleh menyebabkan kerosakan buah pinggang dan sistem saraf serta mengganggu perkembangan otak kanak-kanak.

Beliau berkata, orang awam yang sedang menggunakan produk kosmetik ini dinasihatkan untuk segera menghentikan penggunaannya dan mendapatkan nasihat daripada ahli profesional kesihatan jika mengalami sebarang ketidakselesaan atau kesan advers.

"Penjual dan pengedar produk kosmetik ini perlu menghentikan penjualan dan pengedaran kosmetik itu dengan serta merta kerana ia melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 yang boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama.

"Bagi kesalahan berikutnya denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lina tahun atau kedua-duanya serta bagi syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya," katanya.

Orang ramai digalakkan menyemak status notifikasi sesuatu produk kosmetik dengan melayari laman sesawang rasmi NPRA www.npra.gov.my atau melalui aplikasi 'NPRA Product Status' yang boleh dimuat turun daripada Google Play Store.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 April 2020 @ 12:29 PM