Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, ketika sidang media harian berkaitan jangkitan COVID-19 di Kementerian Kesihatan, Putrajaya. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, ketika sidang media harian berkaitan jangkitan COVID-19 di Kementerian Kesihatan, Putrajaya. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kini dalam proses untuk mewujudkan pusat panggilan bagi membantu Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) yang menerima peningkatan beban kerja dalam tempoh yang singkat sehingga menyebabkan panggilan tidak berjawab.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pusat panggilan itu akan menerima panggilan daripada pesakit yang bergejala untuk disalurkan ke CAC berkaitan dan menerima berkaitan pertanyaan umum mengenai pengawasan dan pemerhatian di rumah (HSO).

"Pusat panggilan itu juga akan menyalurkan panggilan kecemasan ke MERS 999.

"Sebagai permulaan, ia akan dilaksanakan di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya yang mempunyai beban kes yang tinggi.

"Selain itu, KKM juga akan menambah talian telefon di 33 CAC di tiga negeri berkenaan bagi mengurangkan kesesakan talian telefon," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, peningkatan beban kerja dalam tempoh yang singkat menyebabkan kekangan talian telefon bagi menerima panggilan dari pesakit, serta petugas untuk membuat dan menerima panggilan.

"Ini menyebabkan berlaku kejadian panggilan ke CAC tidak berjawab menyebabkan kegelisahan kepada pesakit yang sedang menjalani pemantauan di rumah mengenai status kesihatan semasa.

"Khususnya apabila mereka melaporkan wujudnya gejala baru atau kemerosotan gejala dalam sistem MySejahtera tetapi masih belum diambil tindakan oleh CAC," katanya.

Menurutnya, peningkatan jumlah kes Covid-19 yang mendadak sejak April lalu menyebabkan beban tugas anggota di CAC bertambah.

"Terdapat peningkatan 150 peratus daripada jumlah kedatangan pesakit ke CAC, iaitu dari 4,000 sehari ke 10,000 sehari pada 5 Jun lalu.

"Begitu juga dengan jumlah kes aktif dalam pemantauan CAC yang meningkat 108 peratus dari 5,300 sehari ke 11,000 sehari.

"Selain itu, terdapat peningkatan jumlah kes yang memerlukan rujukan ke hospital (step up care) bagi tempoh dari 23 Mei hingga 5 Jun lalu iaitu dari sembilan kes kepada 35 kes," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Jun 2021 @ 8:01 PM