Syaherah Mustafa

Kota Bharu: Sekumpulan anak muda yang bekerja sebagai penghantar makanan berpakat memberi makan kepada kucing terbiar di sekitar bandar ini.

Mereka membawa makanan kucing yang disumbangkan orang ramai hasil perkongsian di Facebook (FB) untuk diberikan setiap kali haiwan itu ditemui di lokasi sepanjang menghantar makanan kepada pelanggan.

Penghantar makanan, Mohamad Saifullah Omar, 31, berkata, aktiviti itu bermula setahun lalu dan kini disertai hampir 50 penghantar makanan di bawah Persatuan Pet Lover.

"Kami memberi makanan kepada kucing di tempat haiwan itu banyak berkeliaran seperti di pasar basah. Malah, ada masanya, kami berpakat ke lokasi tertentu bagi memberi makan kucing selepas selesai menjalankan kerja," katanya ketika ditemui di sekitar pasar Kota Jembal, Kedai Lalat, di sini, malam tadi.

PENGHANTAR makanan memberi makanan kepada kucing terbiar di sekitar pasar Kota Jembal, Kedai Lalat. FOTO Syaherah Mustafa
PENGHANTAR makanan memberi makanan kepada kucing terbiar di sekitar pasar Kota Jembal, Kedai Lalat. FOTO Syaherah Mustafa

Mohammad Saifullah yang juga Pengerusi Persatuan Pet Lover berkata, dia dan rakan turut mengeluarkan wang sendiri untuk membeli makanan haiwan jika sumbangan diterima sudah habis.

"Sebenarnya, berkongsi rezeki dengan kucing bukanlah sesuatu yang sukar dilakukan, malah setiap daripada kami memang ada stok makanan di raga motosikal supaya boleh terus diberi kepada haiwan ini.

"Kami biasanya berpakat berhenti rehat atau makan di tempat dijanjikan seperti di kawasan taman. Jadi, jika ada kucing terbiar, beri sekali makanan.

"Saya juga mengajak lebih ramai pencinta haiwan untuk turut sama menyumbang sama ada dalam bentuk kewangan mahupun bekalan makanan bagi membantu haiwan ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 January 2021 @ 10:34 AM