Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Beberapa laluan tikus yang ditutup dengan konkrit penghadang jalan di kawasan sempadan daerah ini dikesan dialihkan oleh pihak tidak bertanggungjawab untuk memudahkan pergerakan dari kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKDP) secara haram.

Tinjauan Harian Metro hari ini mendapati, beberapa jalan kampung yang sudah ditutup dengan konkrit penghadang jalan di sempadan daerah Kota Setar -Pendang dibuka laluan untuk memudahkan penunggang motosikal atau pejalan kaki melalui kawasan itu.

Malah ketika tinjauan dilakukan, terdapat beberapa penunggang motosikal berpatah balik sebaik ternampak kenderaan polis yang sedang melakukan pemantauan.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, pihaknya memberi amaran tegas kepada penduduk di kawasan sempadan daerah iaitu di Kubang Pasu, Pendang, Pokok Sena supaya tidak cuba keluar masuk ke kawasan PKPD ini di laluan tikus.

Beliau berkata, tindakan tegas akan diambil sekiranya didapati ada yang cuba membuka laluan di jalan yang sudah ditutup.

"Sekiranya ditangkap, tindakan tegas akan diambil dan kami buat semua ini (tutup jalan) bukan untuk kepentingan kami tapi untuk semua masyarakat.

"Ini adalah satu langkah untuk memutuskan rantaian penularan Covid-19 dari daerah ini disebabkan peningkatan kes yang mendadak," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui ketika melakukan pemantauan dan rondaan di sekatan jalan raya (SJR) dan beberapa laluan yang ditutup di sempadan daerah Pokok Sena dan Pendang, di sini hari ini.

Ahmad Shukri berkata, setakat ini pihaknya tidak melakukan penambahan SJR atau laluan yang ditutup namun mempertingkatkan pasukan pemantau Covid-19 melalui pemeriksaan bergerak di kawasan yang dikenal pasti.

Beliau menasihatkan orang ramai di daerah ini supaya duduk di rumah sekiranya tiada kepentingan dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan ketika PKPD.

"Bagi mereka yang tinggal di kawasan PKPD dan hendak keluar daerah kerana mempunyai urusan perlu melakukan saringan ujian calitan di klinik swasta serta klinik kesihatan daerah sebelum dibenar membuat permohonan rentas daerah.

"Bagaimanapun, hanya kes kecemasan dikecualikan dan perlu mendapat kebenaran polis," katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Shukri berkata, setakat ini pihaknya sudah mengeluarkan 29 kompaun terhadap individu atau premis perniagaan yang melanggar SOP PKPD sejak 19 Mei lalu sehingga hari ini.

Beliau berkata, selain itu, sebanyak 2,454 kenderaan diarah berpatah balik kerana gagal mengemukakan surat kebenaran polis.

AHMAD Shukri (kanan)menunjukkan konkrit penghadang jalan yang diubah di kawasan sempadan Alor Setar-Pendang. FOTO Zuliaty Zulkifli.
AHMAD Shukri (kanan)menunjukkan konkrit penghadang jalan yang diubah di kawasan sempadan Alor Setar-Pendang. FOTO Zuliaty Zulkifli.

PKPD Kota Setar bermula sejak 19 Mei lalu sehingga 1 Jun ini yang membabitkan 28 mukim berikutan peningkatan kes jangkitan Covid-19 di daerah ini.

Berikutan itu, polis melaksanakan dua SJR di laluan masuk dan keluar di Plaza Tol Alor Setar Utara selain menutup lapan jalan bagi mengelakkan orang ramai merentas daerah tanpa kebenaran.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Mei 2021 @ 3:15 PM