ASMADI (kiri) memeriksa penghadang lorong tikus di Kawasan Perindustrian Jalan 14 J, Presint 14. FOTO ihsan pembaca
ASMADI (kiri) memeriksa penghadang lorong tikus di Kawasan Perindustrian Jalan 14 J, Presint 14. FOTO ihsan pembaca
Samadi Ahmad


Putrajaya: Polis mengingatkan orang ramai supaya tidak bertindak sendiri apabila pihak berkuasa menutup 'lorong tikus' dalam usaha menyekat pergerakan rentas daerah dan negeri.

Ketua Polis Daerah Putrajaya Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz berkata, tujuan sekatan jalan raya (SJR) dan menutup lorong tikus ialah bagi memastikan orang ramai tidak merentas daerah dan negeri bagi mengawal penularan Covid-19.

"Orang ramai diminta tidak mengubah atau merosakkan mana-mana penghadang jalan yang dipasang pihak berkuasa," katanya selepas melakukan tinjauan di Kawasan Perindustrian Jalan 14 J, Presint 14, di sini semalam.

Lorong tikus yang ditutup dengan konkrit dan penghadang besi di sempadan daerah ini dikesan dialihkan oleh pihak tidak bertanggungjawab untuk memudahkan pergerakan dari kawasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara haram.

Penghadang itu dipasang bertujuan mengelak penduduk dari Kampung Dato Abu Bakar Baginda di Selangor merentas daerah secara tidak sah memasuki pusat kerajaan tanpa mengikut laluan dan pemeriksaan di SJR.

Asmadi berkata, perbuatan itu satu kesalahan mengikut Seksyen 434 Kanun Keseksaan iaitu khianat dengan membinasakan atau mengalih tanda yang dipasang oleh pihak berkuasa awam.

Menurutnya, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga setahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

"Kesalahan ini juga boleh didakwa di bawah Seksyen 270 Kanun Keseksaan iaitu perbuatan khianat yang mungkin boleh merebakkan jangkitan apa-apa penyakit yang merbahaya kepada nyawa.

"Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

"Polis memberi amaran tegas kepada orang ramai di kawasan sempadan kampung dan pusat kerajaan ini supaya tidak cuba keluar masuk ke kawasan PKP menggunakan lorong tikus," katanya.

Dalam pada itu, Asmadi menyeru orang ramai agar memberi kerjasama bagi memantau kegiatan yang tidak bertanggungjawab dan menyalurkan maklumat ke IPD Putrajaya melalui talian hotline 03-88862145 atau WhatsApp 0193815043.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Ogos 2021 @ 10:28 AM