Gambar fail menunjukkan polis menahan dan merampas ayam-ayam sabung dalam usaha membanteras perjudian haram.
Gambar fail menunjukkan polis menahan dan merampas ayam-ayam sabung dalam usaha membanteras perjudian haram.
Izlaily Nurul Ain Hussein

POLIS Johor menahan 129 individu termasuk lapan wanita yang terbabit dalam kegiatan perjudian haram dalam Op Limau sempena Tahun Baru Cina yang dijalankan di seluruh negeri itu.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata, sepanjang tempoh operasi dari 9 Februari lalu hingga semalam, 14 serbuan membabitkan pelbagai jenis perjudian dijalankan.

Beliau berkata, dalam semua serbuan itu 121 lelaki tempatan dan warga asing ditahan termasuk lapan wanita berusia antara 21 hingga 62 tahun.

“Kita menahan 101 lelaki tempatan, 11 lelaki warga Indonesia, lapan lelaki Bangladesh dan seorang lelaki Pakistan.

“Kita juga menahan tujuh wanita tempatan dan seorang wanita Indonesia selain merampas pelbagai barangan yang digunakan dalam kegiatan perjudian haram,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor di sini, hari ini. Menurutnya, serbuan yang dibuat membabitkan sebuah tempat judi sabung ayam, sembilan perjudian di tempat bebas dan empat perjudian dalam bangunan.

Katanya, antara yang dirampas dan disita hasil serbuan itu termasuk wang tunai sebanyak RM114,656; 64 keping kertas tercatat angka perjudian haram; 103 kerusi; 20 meja; 156 daun terup; 818 cip pelbagai warna; 768 batu mahjung; 25 dadu; tiga ekor ayam sabung dan dua papan golek.

“Siasatan dibuat terhadap mereka yang ditahan mengikut Seksyen 6 (1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 7 (2) akta sama,” katanya.

Mohd Khalil turut memberi amaran tegas kepada penganjur, penerima dan pembuat pertaruhan dalam aktiviti perjudian haram, tindakan undang-undang akan diambil terhadap mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Februari 2018 @ 4:54 PM