FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Nurul Hidayah Bahaudin
nurul.hidayah@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Kebanyakan harga barangan asas seperti ayam, daging, sayuran serta telur menunjukkan tren penurunan sepanjang tempoh perlaksanaan Sekatan Pergerakan Penuh (SPP) sejak 1 Jun lalu.

Pengarah Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Azman Adam berkata, berdasarkan pemantauan dilakukan pihaknya sepanjang tempoh SPP sehingga hari ini, tiada barangan keperluan mencatatkan peningkatan harga ketara.

"Contohnya, harga ayam dilihat menurun, manakala harga daging yang sebelum ini meningkat juga sudah stabil dan ada penurunan sedikit.

"Berdasarkan pemantauan juga, kami mendapati harga ikan ada mencatatkan sedikit kenaikan, namun tidak ketara. Malah, kenaikan itu hanya dilihat pada ikan tertentu sahaja seperti ikan kembung.

"Secara keseluruhannya, kebanyakan harga keperluan asas menunjukkan tren penurunan sepanjang tempoh 'total lockdown' (SPP) ini," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Azman berkata, pihaknya menerima 15 aduan berkaitan kenaikan harga barang serta kelewatan bekalan barang sepanjang tempoh SPP bermula Selasa lalu.

"Aduan yang kami terima itu berkaitan harga barang yang dikatakan naik membabitkan minyak masak dalam botol serta bekalan barang lambat tiba.

"Setakat ini, tiada tindakan yang diambil dan kami akan melakukan pemantauan secara berterusan bagi memantau harga barang keperluan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Jun 2021 @ 5:40 PM