TINJAUAN harga barang di Pasar Lebuh Cecil, Pulau Pinang. FOTO Mikail Ong
TINJAUAN harga barang di Pasar Lebuh Cecil, Pulau Pinang. FOTO Mikail Ong
Syalikha Sazili


KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) mengesan kenaikan harga 99 jenis barang menerusi operasi pemantauan harga pasaran.

Antara yang mengalami kenaikan harga ialah ayam, ikan bawal hitam, sotong selain sayur-sayuran seperti lada benggala merah dan tomato.

Pengarah KPDNKK Kuala Lumpur, Ummi Nasrah Othman berkata, pegawainya melaksanakan pemantauan harga bagi meninjau perubahan harga di pelbagai lokasi antaranya di pasar raya, pasar basah dan kedai runcit.

“Ikan bawal hitam mengalami kenaikan harga sebanyak RM3 menjadikan harga pasaran ketika ini mencecah RM20 sekilogram (kg).

“Selain itu, ayam proses juga menunjukkan peningkatan purata sekitar 30 sen sehingga 50 sen, di beberapa lokasi.

“Barangan lain seperti lada benggala merah, tomato dan sotong menerima kenaikan antara RM1 hingga RM2 untuk setiap kg,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Ummi Nasrah juga berkata 103 jenis barangan menunjukkan penurunan harga, manakala barangan lain masih kekal pada harga sama.

“Harga ikan cencaru turun RM1 menjadikan harga pasaran ikan itu kini RM7 sekilo. Begitu juga harga udang putih alami penurunan harga sebanyak RM2 menjadikannya RM24 bagi setiap kg.

“Memandangkan harga barangan tertakluk kepada pasaran terbuka, saya mengesyorkan supaya pengguna menjadi `pengguna bijak’ seperti membuat kajian sebelum membeli-belah atau menggunakan aplikasi `Price Catcher’,” katanya.

KPDNKK turut memaklumkan sepanjang dua minggu lalu tiada sebarang aduan diterima khusus mengenai kenaikan harga barang.

Sekiranya terdapat sebarang aduan, pengguna diminta menghubungi kementerian di talian 03-800 886 800, membuat aduan di aplikasi ez-adu atau menerusi emel kepada [email protected]

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Mei 2018 @ 4:03 PM