Pelanggan melihat ikan dan udang yang dijual di Pasar Besar Kuantan, Kuantan. FOTO Asrol Awang
Pelanggan melihat ikan dan udang yang dijual di Pasar Besar Kuantan, Kuantan. FOTO Asrol Awang
Asrol Awang


TIADA kenaikan mendadak harga barang keperluan di Pasar Besar Kuantan berikutan arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula sejak 18 Mac lalu hingga 14 April ini.

Tinjauan Harian Metro mendapati harga barang keperluan seperti ikan, daging, ayam, sayuran, bawang dan kelapa dijual pada harga biasa sebelum PKP dilaksanakan.

Sebagai contoh, daging lembu dijual pada harga RM34 sekilogram, diikuti ayam (RM7.50), ikan tenggiri antara RM28 hingga RM40, ikan merah (RM38), selar (RM18), kembung (RM20) dan kerisi (RM10) sekilogram.

Harga bawang merah pula antara RM9 hingga 10 sekilogram, manakala santan pekat dijual RM15 sekilogram, kelapa parut putih (RM10) dan kelapa parut biasa (RM9) sekilogram.

Pelanggan Hamdan Yaakob, 45, dari Bukit Setongkol, Kuantan, berkata kebiasannya dia akan ke pasar tiga hari sekali kerana harganya masih stabil dan banyak pilihan.

“Biarpun terpaksa beratur untuk memasuki pasar, saya tetap ke sini kerana semuanya ada seperti ikan, daging, sayur dan ayam.

“Saya bersyukur kerana tiada kenaikan harga yang ketara biarpun arahan PKP dilaksanakan,” katanya.

Jamaluddin Mohamaed, 51, dari Cenderawasih, berkata terdapat banyak pilihan selain harga yang berpatutan mendorongnya membeli barang keperluan harian di pasar itu.

“Saya datang ke sini selang tiga atau empat hari sekali kerana membeli barang keperluan kebiasaannya untuk bekalan tiga hari,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 April 2020 @ 11:44 AM