Mohd Salim (tengah) menyampaikan sumbangan makanan kepada penduduk Orang Asli di Jempol.  FOTO ABNOR HAMIZAM
Mohd Salim (tengah) menyampaikan sumbangan makanan kepada penduduk Orang Asli di Jempol. FOTO ABNOR HAMIZAM
Abnor Hamizam Abd Manap


Jempol: Implikasi pelaksanaan sekatan pergerakan penuh Fasa Pertama terhadap pendapatan pekebun kecil hanya minimum, kata Pengerusi Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda), Datuk Mohd Salim Mohd Sharif.

Beliau berkata, ini kerana penoreh getah masih dibenarkan menoreh sepanjang tempoh ini.

Malah, katanya, kegiatan jual beli sekerap atau susu cair juga dibenarkan beroperasi seperti biasa oleh pihak Lembaga Getah Malaysia (LGM).

"Selain itu, sebahagian pekebun kecil juga layak menerima bantuan kerajaan menerusi Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (Pemerkasa), tambahan Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) dan moratorium.

"Bagaimanapun, jika ada pekebun kecil yang menghadapi masalah, mereka boleh hubungi pihak Risda untuk mendapatkan bantuan," katanya di sini, hari ini.

Mohd Salim yang juga Ahli Parlimen Jempol berkata, semua urusan dengan pihak Risda dijalankan secara dalam talian dengan menghubungi talian WhatsApp 01172703780 berikutan kesemua premis Risda di seluruh negara ditutup sehingga 14 Jun ini.

Dalam perkembangan lain, Mohd Salim berkata, sebanyak 3,918 bakul makanan diserahkan kepada ketua isi rumah (KIR) masyarakat Orang Asli di seluruh Negeri Sembilan oleh Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) mulai hari ini hingga Isnin.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Jun 2021 @ 6:45 PM