BERNAMA

Ipoh: Pembukaan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) pandu lalu di Stadium Indera Mulia (SIM) bermula hari ini, membolehkan pemberian vaksin diselesaikan dalam tempoh 10 minit berbanding sejam sebelum ini, kata Menteri Besar Perak Datuk Saarani Mohamad.

Beliau berkata, seramai 100 penerima vaksin dos kedua terawal menjadi kumpulan pertama mendapat perkhidmatan pandu-lalu pertama di Perak, dan jumlahnya dijangka bertambah setiap hari mengikut peningkatan kemahiran pasukan mengendalikan urusan berkenaan.

"Idea menyediakan perkhidmatan pandu lalu tercetus, bagi meringankan cabaran warga emas yang perlu beratur dalam keadaan berkerusi roda, bertongkat dan memerlukan perhatian, di sepanjang proses penerimaan vaksin.

"Pertambahan kaunter pandu lalu juga, dijangka dapat menambah bilangan penerima vaksin di PPV SIM, iaitu sehingga 2,500 orang sehari.

"Langkah ini juga diambil sebagai persediaan untuk menghadapi fasa akan datang (yang menawarkan vaksin kepada golongan di bawah 60 tahun), yang dijangkakan lebih ramai selepas ini," katanya selepas merasmikan PPV pandu lalu itu, hari ini.

Antara lokasi PPV pandu lalu lain di seluruh negara adalah di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) (Kelantan) dan Hospital Pakar Kanak-Kanak Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) (Cheras).

Saarani berkata, PPV pandu lalu adalah antara inisiatif kerajaan negeri, bagi meningkatkan tahap kesiapsiagaan pemberian vaksin kepada rakyat, termasuk peningkatan jumlah penerima vaksin dan pertambahan jumlah pemvaksin, yang kini 24 orang berbanding enam sebelum ini.

SAARANI (kiri) melihat proses pemberian vaksin pandu lalu di Perkarangan Stadium Indera Mulia. FOTO Shahrul Hafiz Zam.
SAARANI (kiri) melihat proses pemberian vaksin pandu lalu di Perkarangan Stadium Indera Mulia. FOTO Shahrul Hafiz Zam.

Beliau berkata, kemampuan pasukan mengendalikan kaedah baru pemberian vaksin melalui pandu lalu akan diuji secara berfasa, dan ketika ini perkhidmatan dihadkan untuk penerima vaksin dos kedua sahaja, kerana proses yang lebih ringkas.

Ditanya mengenai pembukaan PPV pandu lalu kedua di Bulatan Sultan Azlan Shah, Bandar Meru Raya, Ipoh, seperti diumumkan Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Dr Noor Azmi Ghazali sebelum ini, Saarani berkata, ia sedang dikaji termasuk aspek kelancaran lalu lintas di lokasi yang dicadangkan itu.

"Kita kena kaji dan lihat dahulu, kerana kita tidak mahu libatkan kenderaan berbaris panjang sehinggakan berlakunya kesesakan lalu lintas," katanya yang menambah, lokasi PPV pandu lalu di daerah lain juga sedang dikaji pihaknya ketika ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Jun 2021 @ 2:04 PM