Jaafar Awang Mat, 105, dari Kampung Pulong, Kubang Kerian, mengambil suntikan vaksin COVID-19 Ahad lalu. FOTO IHSAN PEMBACA
Jaafar Awang Mat, 105, dari Kampung Pulong, Kubang Kerian, mengambil suntikan vaksin COVID-19 Ahad lalu. FOTO IHSAN PEMBACA
Oleh Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: "Pok cik umur 105 tahun pun tak takut cocok (suntik) vaksin. Pakat gi belako supaya vaksin ni cepat selesai. Kes Covid-19 turun, kita boleh gi semaye (solat) ramai-ramai di surau," kata Jaafar Awang Mat, 105, dari Kampung Pulong, Kubang Kerian di sini.

Jaafar atau dikenali sebagai Ayah Pa mengambil suntikan vaksin di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Tunjong Ahad lalu.

Menurutnya, selepas menerima suntikan vaksin, dia tidak mengalami sebarang gejala dan sihat seperti biasa.

Katanya, dia turut memberitahu jiran berkenaan kebaikan vaksin dan menyuruh mereka mengambil suntikan bagi melindungi dan menguatkan imunisasi diri.

Sementara itu, cucunya, Noor Azriena Syam Suri Md Nor, 33, berkata, datuknya bersemangat untuk mengambil suntikan vaksin selepas berdaftar di MySejahtera April lalu.

"Selepas mengambil suntikan vaksin datuk tidak mengalami sebarang gejala dan sihat seperti biasa. Datuk kemudian memberi kesedaran kepada orang kampung dan menyuruh mereka mengambil vaksin Covid-19 dengan memberitahu badannya lebih sihat selepas divaksin.

"Alhamdulillah, ramai penduduk kampung terutama golongan yang berusia kini sudah sedar apabila mendaftarkan diri untuk mengambil suntikan vaksin.

"Orang kampung termasuk jiran saya yang berusia meminta bantuan saya untuk mendaftarkan mereka menerusi MySejahtera," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Menurutnya, pada awalnya datuknya hampir termakan hasutan pihak tertentu yang menceritakan keburukan vaksin, namun dia dan keluarga memberi semangat serta menceritakan kebaikan vaksin.

"Datuk seorang yang kuat apabila sehingga kini masih mampu menunggang basikal untuk ke masjid atau kedai berhampiran.

"Saya bersyukur kerana datuk masih kuat dan sangat positif untuk mengambil vaksin memandangkan kes Covid-19 di Kelantan masih tinggi. Datuk tidak sabar untuk menunggu suntikan vaksin bagi dos kedua yang dijangka pada 20 Jun ini," katanya.

Terdahulu, gambar warga emas ini tular di laman Facebook apabila lelaki itu memegang kad yang bertulis 'saya telah divaksin'.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Jun 2021 @ 6:49 PM