Antara warga emas di Pondok Ahmadiah atau dikenali sebagai Pondok Pak Teh Mat, Kampung Padang Nyior, di sini menerima suntikan vaksin dos pertama mereka menerusi Unit Bergerak Vaksinasi Padang Terap hari ini. FOTO Noorazura Abdul Rahman
Antara warga emas di Pondok Ahmadiah atau dikenali sebagai Pondok Pak Teh Mat, Kampung Padang Nyior, di sini menerima suntikan vaksin dos pertama mereka menerusi Unit Bergerak Vaksinasi Padang Terap hari ini. FOTO Noorazura Abdul Rahman
Noorazura Abdul Rahman


Padang Terap: Seramai 50 penghuni Pondok Ahmadiah atau lebih dikenali sebagai Pondok Pak Teh Mat, Kampung Padang Nyior di sini, menerima suntikan vaksin Covid-19 melalui Unit Bergerak Vaksinasi Padang Terap hari ini.

Penghuni, Wan Maharani Wan Mohamad Taib, 86, berkata, dia tidak takut untuk menerima suntikan vaksin Covid-19 biarpun berdepan masalah jantung.

"Saya mengidap lemah jantung dan darah tinggi sejak 15 tahun lalu, suntikan vaksin ini adalah perkara biasa yang dilakukan untuk elak penyakit.

"Contohnya, sebelum saya menunaikan haji sebelum ini, kami juga disuntik vaksin.

"Jadi, saya tiada masalah ambil suntikan vaksin, saya juga bersyukur kerana tidak perlu bersusah payah keluar dari pondok untuk terima vaksin. Terima kasih kepada Unit Bergerak Vaksinasi Padang Terap kerana memudahkan urusan kami," katanya yang sudah 15 tahun menjadi penghuni pondok berkenaan.

Selain pelajar pondok itu, 30 penduduk berdekatan yang berdaftar turut menerima suntikan vaksin mereka di premis berkenaan.

Imam Masjid Kampung Tanjung Kiri Mohamad Sougelail Harun, 59, berkata, kewujudan Unit Bergerak Vaksinasi Padang Terap memberi gambaran baik kepada penduduk pedalaman yang sebelum ini menerima maklumat negatif berkaitan vaksin.

"Saya tahu berita negatif vaksin hanya mainan pihak tertentu, jadi saya lebih percaya kepada ulama di Masjidil Haram dan Malaysia yang sudah mengambil vaksin, apatah lagi tuan guru pondok ini, Datuk Ahmad Mohd Nor Pak Teh, berusia 95 tahun, turut memberi kebenaran supaya proses suntikan dibuat di sini," katanya.

Sementara itu, Pegawai Daerah Padang Terap Datuk Md Shuhaime Abdul Rahman berkata, suntikan vaksin terhadap penghuni serta penduduk itu dilakukan bagi membentuk imuniti berkelompok secepat mungkin.

"Kita yakin, selepas semua warga emas di daerah ini divaksin, kita akan mula fokus kepada golongan lain.

"Di kawasan ini, ada beberapa masalah seperti capaian Internet menyebabkan penduduk sukar untuk mengemas kini aplikasi MySejahtera," katanya.

Selain suntikan vaksin, Md Shuhaime berkata, pihaknya juga turut menyampaikan sumbangan bakul makanan kepada penghuni di pondok berkenaan.

Katanya, unit berkenaan bagaimanapun berdepan kekangan untuk mencapai sasaran suntikan iaitu 1,000 penerima dalam tempoh seminggu berikutan bekalan vaksin yang terhad.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Jun 2021 @ 3:48 PM