Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari
Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari
Norzamira Che Noh

Shah Alam: Kerajaan negeri dijangka akan mengumumkan Pakej Kita Selangor baharu pada awal minggu hadapan susulan pelaksanaan sekatan pergerakan penuh yang dilaksanakan hingga 14 Jun ini.

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pihaknya kini dalam perbincangan mengenai pakej bantuan berkenaan.

"Insya-Allah saya akan mengumumkan Pakej Kita Selangor minggu hadapan, saya tengah siapkan.

"Perkara ini juga kita sudah bincangkan dalam mesyuarat bersama exco sebentar tadi," katanya ringkas ketika sidang media di SUK Selangor di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai adakah Selangor akan menyediakan pakej bantuan kepada rakyat yang terjejas susulan pelaksanaan sekatan pergerakan penuh ketika ini.

Pada tahun lalu, kerajaan negeri memperuntukkan kira-kira RM400 juta untuk dua Pakej Rangsangan Selangor Prihatin iaitu RM127.78 yang diumumkan pada Mac dan RM272.5 juta pada April.

Kerajaan negeri kemudiannya mengumumkan Pakej Kita Selangor pada Januari lalu dengan peruntukkan RM73.877 juta.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Jun 2021 @ 3:14 PM