Zainal Abdullah ketika sidang media bersama media selepas membuat pemantauan SOP dalam pengangkutan awam di sekitar Kuala Lumpur. FOTO AZIAH AZMEE
Zainal Abdullah ketika sidang media bersama media selepas membuat pemantauan SOP dalam pengangkutan awam di sekitar Kuala Lumpur. FOTO AZIAH AZMEE
Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Polis menasihatkan pengguna pengangkutan awam mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan memiliki surat kebenaran majikan atau kebenaran daripada polis untuk merentas daerah bagi mengelakkan diri mereka dikompaun.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, sekiranya berlaku pelanggaran SOP, bukan sahaja penumpang tetapi penyedia perkhidmatan pengangkutan awam akan turut dikenakan kompaun.

Menurutnya, sejak kebelakangan ini kes Covid-19 amat membimbangkan dan perlu diambil tindakan serius serta sistematik supaya dapat melandaikannya.

"Walaupun kerajaan membenarkan sektor ekonomi beroperasi tetapi syarat ketat ditetapkan kepada semua rakyat di mana mereka harus mematuhi semua SOP.

"Sebagai contoh, apabila menggunakan pengangkutan awam, ada beberapa perkara yang perlu dan wajib dipatuhi penumpang yang menaikinya termasuk wajib memakai pelitup muka," katanya pada sidang media selepas membuat pemantauan SOP dalam pengangkutan awam di sekitar Kuala Lumpur, di sini, hari ini, bersama Prasarana Malaysia Berhad.

Mohamad Zainal berkata, bagi pemantauan hari ini, beliau berpuas hati dengan tahap pematuhan SOP malah Prasarana juga menyediakan kod imbasan MySejahtera, mesin imbasan suhu badan dan buku manual seperti ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Ini tindakan tepat kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bukan baharu bermula tetapi sudah lebih setahun di mana menjadi norma baharu rakyat Malaysia dan atas sebab itu, tiada alasan lupa dan sebagainya untuk mematuhi SOP," katanya.

Beliau berkata, sejak Januari lalu, sebanyak 56 pasukan terdiri daripada 267 pegawai dan anggota terbabit dalam penugasan pemantauan SOP di daerah Dang Wangi.

"Malah sejak Januari lalu, sebanyak 1,297 kompaun dikeluarkan atas pelbagai kesalahan manakala sejak PKP diperkenalkan, sebanyak 4,811 kompau dikeluarkan di daerah ini.

"Bagaimanapun kesalahan dilakukan membabitkan pengangkutan awam kurang dari 100 kes namun kebanyakan disebabkan tiada surat merentas daerah dan negeri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Mei 2021 @ 2:37 PM