GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Sebanyak 75 kilang dikenakan kompaun dan 59 kilang lagi diarah tutup selepas gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tindakan itu dilaksanakan pasukan Task Force Operasi Pematuhan dalam tempoh 1 Jun hingga semalam.

Menurutnya, dalam tempoh itu juga sebanyak 268 kilang diperiksa di seluruh negara bagi memastikan tiada pelanggaran SOP.

"Kerajaan sudah meningkatkan operasi pemantauan dan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak didapati melanggar SOP yang diwartakan.

"Langkah ini dikuatkuasakan susulan kerajaan menerima banyak aduan berkaitan industri dan premis perniagaan yang tiada dalam senarai perkhidmatan perlu beroperasi sepanjang tempoh pelaksanaan PKP ketika ini," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, kerajaan turut bersetuju melanjutkan tempoh sekatan tambahan bagi kemasukan pengembara ke Wilayah Persekutuan Labuan bermula hari ini sehingga 30 Jun.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Jun 2021 @ 6:58 PM