GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Hazira Ahmad Zaidi


Kota Bharu: Tabung bekalan darah Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) dalam keadaan kritikal dan hanya mampu bertahan untuk tiga hari sahaja.

Pengarah HRPZ II Datuk Dr Selasawati Ghazali berkata, bagi mengisi tabung darah yang semakin meruncing, kakitangan bertugas juga menderma darah selain turut menghubungi rakan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk tampil membantu.

Katanya, pesakit Covid-19 juga boleh menderma darah namun hanya selepas mereka pulih.

Ia susulan keadaan mereka yang agak lemah dan selepas tiga bulan melalui fasa pemulihan, barulah boleh menderma darah.

"Kita berterima kasih kepada pesakit Covid-19 atas usaha mereka yang menderma darah kerana keutamaan kita adalah membantu pesakit kembali pulih.

"Justeru, kami harap lebih ramai pesakit bukan Covid-19 tampil untuk menderma darah," katanya kepada media selepas majlis penyerahan pelitup muka di lobi HRPZ II di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Selasawati berkata, walaupun bekalan darah mencukupi tapi keperluan darah sentiasa diperlukan bagi membantu pesakit yang memerlukan.

"Kita perlu penderma yang konsisten untuk menampung keperluan darah," katanya.

Beliau berkata, bagi penerima vaksin pula, mereka bebas untuk menderma darah.

"Bagaimanapun, kami akan melakukan ujian kesihatan terhadap setiap individu yang tampil mahu menderma darah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Jun 2021 @ 3:46 PM