Amir Abd Hamid dan Raja Noraina Raja Rahim


KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) menggalakkan bekas pesakit Covid-19 yang sudah sembuh supaya menderma darah untuk plasma mereka diambil bagi ujikaji kemungkinan merawat pesakit lain.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, bagaimanapun bekas pesakit yang ingin menderma darah tetap perlu ulangi proses saringan penyakit termasuk Covid-19.

Beliau berkata, beberapa bekas pesakit jangkitan virus itu yang sudah sembuh ada tampil menderma darah.

"Ada yang tampil ke depan untuk menderma darah. Kita menggalakkan tetapi mereka kena lalui proses saringan yang diulangi seperti saringan Covid-19 dan penyakit berjangkit lain.

"Kena ada sesi kaunseling kepada bekas pesakit itu dan jika dia setuju, baru kita rujuk kepada Pusat Darah Negara untuk mereka dermakan darah.

"Darah ada dua komponen iaitu darah merah dan plasma. Apa yang kita perlukan adalah plasma manakala darah merah kita pulangkan, jadi penderma tiada rasa kekurangan darah," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media harian Covid-19 di KKM, Putrajaya, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, itu adalah antara cara KKM membuat penyelidikan dan plasma itu akan dihantar ke Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) bagi melihat kepekatan antibodi.

“Dua minggu selepas itu, kita akan ambil darah (bekas pesakit Covid-19) lagi untuk diambil plasmanya dan plasma ini akan dikaji.

"Jika kepekatan antibodi bekas pesakit itu tinggi, besar kemungkinan kita akan menggunakan plasma bekas pesakit itu untuk merawat pesakit lain,” katanya.

KKM galak bekas pesakit Covid-19 yang sembuh derma plasma darah bagi penyelidikan  merawat pesakit lain. FOTO Arkib NSTP
KKM galak bekas pesakit Covid-19 yang sembuh derma plasma darah bagi penyelidikan merawat pesakit lain. FOTO Arkib NSTP

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 April 2020 @ 7:26 PM