Gambar hiasan
Gambar hiasan
Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Pesara guru kerugian lebih RM133,000 akibat terpedaya dengan sindiket Macau Scam selepas menerima panggilan telefon daripada individu menyamar sebagai kakitangan syarikat telekomunikasi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kedah, Superintendan Elias Omar berkata, wanita berusia 53 tahun dari Jalan Kuala Kedah, di sini, mendakwa menerima panggilan telefon daripada seorang wanita pada 12.30 tengah hari 20 Mei lalu.

Menurutnya, mangsa dimaklumkan oleh wanita berkenaan bahawa talian telefon yang dilangganinya akan ditamatkan kerana didakwa terbabit dengan aktiviti judi dalam talian.

"Panggilan kemudian didakwa disambung ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban dan mangsa bercakap dengan seorang wanita mengaku sebagai Sarjan Lai Lee Cheng dan mengesahkan nama mangsa terbabit dengan pelbagai kes jenayah.

"Mangsa kemudian dihubungi seorang lelaki lain yang memperkenalkan diri sebagai Asisten Komisioner Datuk Mohd Hafiz Abdullah dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersial dari Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan.

"Lelaki itu pula mendakwa mangsa terbabit dalam kes penggubahan wang haram dan pengedaran dadah serta terdapat waran tangkap terhadap wanita berkenaan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Elias berkata, mangsa ditawarkan untuk menyelesaikan waran tangkap dengan diberi tiga pilihan sama ada akan direman atau akaun bank akan dibekukan atau memberi kerjasama dengan pihak polis.

Menurutnya, mangsa memilih untuk memberi kerjasama, tetapi perlu mengikut semua arahan yang diberikan.

"Disebabkan terpedaya, mangsa kemudian membuat 16 kali transaksi ke dalam lima akaun bank berbeza berjumlah lebih RM133,000 bermula 20 Mei hingga 22 Mei lalu.

"Mangsa menggunakan duit simpanan sendiri serta pinjaman keluarga dan rakan sebelum menyedari ditipu apabila memberitahu hal sebenar kepada ahli keluarga," katanya.

Katanya, mangsa kemudian tampil membuat laporan di Balai Polis Alor Setar dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Jun 2021 @ 3:31 PM