DATUK Shafien Mamat (Dua dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada ahli jawatankuasa Masjid Mukim Permatang Sungkai, Pasir Puteh. FOTO ihsan pembaca
DATUK Shafien Mamat (Dua dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada ahli jawatankuasa Masjid Mukim Permatang Sungkai, Pasir Puteh. FOTO ihsan pembaca
Nor Amalina Alias


Pasir Puteh: Unit Anjing Pengesan (K9) Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan ditempatkan di sekatan jalan raya (SJR) di Kelantan dalam usaha diperketatkan kawalan di pintu masuk ke negeri ini dalam pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Ketua Polis Kelantan Datuk Shafien Mamat berkata, Unit K9 digunakan untuk membanteras aktiviti jenayah yang dilakukan ketika melalui SJR.

Menurutnya, kehadiran anjing pengesan itu adalah usaha pihak polis bagi membendung kemasukan barang terlarang atau perbuatan jenayah sepanjang PKPB.

"Setakat ini, kita sudah gerakkan Unit K9 di SJR Jeli dan akan diteruskan ke SJR Gua Musang yang menjadi pintu masuk utama ke negeri ini.

"Kehadiran Unit K9 berkesan dalam membantu pegawai dan anggota melaksanakan operasi mengawal keselamatan sekali gus menunjukkan komitmen kita untuk tidak berkompromi dengan mana-mana aktiviti jenayah," katanya dalam Program Kunjungan Mahabbah di Masjid Mukim Permatang Sungkai di sini, hari ini.

Menurutnya, setakat ini SJR di Kelantan masih dikekalkan di Jeli, Balai Polis Bukit Yong di Pasir Puteh dan Gua Musang di laluan Lojing dan Kuala Lipis.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Mac 2021 @ 7:26 PM