GAMBAR hiasan. FOTO BERNAMA
GAMBAR hiasan. FOTO BERNAMA
Nurul Fatihah Sulaini


Jertih: Penduduk Besut diminta terus patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) Am Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Daerah Besut yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara bermula pada 22 Mei lalu sehingga 4 Jun nanti.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Besut, Ahmad Farhan Abdul Wahab berkata, makluman itu dibuat selepas terdapat kekeliruan dalam kalangan orang awam khususnya berkenaan SOP yang diguna pakai dan dikuatkuasakan di daerah terbabit.

"Ini adalah lanjutan daripada pengumuman oleh Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam berkenaan 17 senarai perkhidmatan perlu yang dibenarkan beroperasi, ketika SOP Sekatan Pergerakan Penuh (SPP) akan dilaksanakan esok menyebabkan ramai yang terkeliru.

"Untuk makluman, daerah Besut masih lagi dalam PKPD Daerah Besut yang membabitkan 15 mukim.

"JPBD ingin memaklumkan bahawa seluruh Besut adalah tertakluk kepada SOP PKPD sedia ada," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Antara SOP PKPD Daerah Besut, penduduk dibenarkan bergerak 10 kilometer (km) radius sahaja dari kediaman masing-masing bagi seorang wakil dari setiap rumah untuk membeli keperluan asas dan keperluan harian.

Aktiviti seperti kenderaan bersaji, penjaja tepi jalan, penjaja beredar, medan selera, pusat penjaja, gerai makan tepi jalan dan kiosk tidak dibenarkan beroperasi.

Kedai runcit, kedai serbaneka, kedai barangan keperluan harian hanya dibenarkan beroperasi antara 8 pagi hingga 7 malam.

Stesen minyak dibenarkan beroperasi antara 6 pagi sehingga 7 malam. Pasar harian, pasar tani, pasar malam dan bazar larut malam tidak dibenarkan beroperasi.

Media sebelum ini melaporkan PKPD akan dilaksanakan di 15 mukim di Besut selama 14 hari bermula 22 Mei sehingga 4 Jun ini.

Mukim terbabit ialah Kampung Raja, Keluang, Lubuk Kawah, Bukit Kenak, Pelagat, Jabi, Tembila, Kerandang, Bukit Puteri, Pengkalan Nangka, Kuala Besut, Pasir Akar, Kubang Bemban, Tenang dan Hulu Besut.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Mei 2021 @ 8:20 AM