Suraya Roslan dan Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Semua sektor ekonomi dalam kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya dibenarkan beroperasi.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, aktiviti sektor ekonomi dan industri di kawasan itu berjalan seperti yang ditetapkan dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP).

Menurutnya, kenderaan berkaitan industri, perniagaan dan perkilangan dibenarkan beroperasi seperti biasa termasuk merentas daerah serta negeri.

"Restoran, kedai, gerai makan, kenderaan bersaji (food truck), penjaja tepi jalan, penjaja beredar, medan selera, pusat penjaja, gerai makan tepi jalan atau kiosk, kedai runcit dan kedai serbaneka dibenarkan beroperasi antara 6 pagi hingga 10 malam.

"Waktu operasi stesen minyak adalah antara 6 pagi hingga 10 malam kecuali pengoperasian stesen minyak di lebuh raya dibenarkan beroperasi 24 jam," katanya dalam sidang media secara virtual, hari ini.

Bagi perkhidmatan pengangkutan, Ismail Sabri berkata, pengangkutan awam seperi bas henti-henti, bas ekspres, LRT (stesen transit aliran ringan), teksi, e-hailing juga dibenarkan beroperasi.

Namun, katanya, perkhidmatan teksi dan e-hailing hanya maksimum dua orang penumpang, manakala kenderaan pekerja dibenarkan membawa penumpang seperti SOP ditetapkan sebelum ini.

"Bagi penghantaran makanan dibenarkan beroperasi dari 6 pagi hingga 12 tengah malam.

"Waktu operasi klinik dan hospital kerajaan serta swasta pula dibenarkan secara 24 jam, tetapi farmasi dan kedai menjual ubat-ubatan beroperasi bermula 8 pagi hingga 11 malam," katanya.

Katanya, sektor perikanan, perladangan, pertanian, penternakan dan semua yang berkaitan dengan rantaian makanan dibenarkan beroperasi.

Begitu juga aktiviti dan perkhidmatan di semua lapangan terbang dan pelabuhan dibenarkan beroperasi.

RESTORAN, kedai, gerai makan, kenderaan bersaji (food truck), penjaja tepi jalan, penjaja beredar, medan selera, pusat penjaja, gerai makan tepi jalan atau kiosk, kedai runcit dan kedai serbaneka dibenarkan beroperasi antara 6 pagi hingga 10 malam. FOTO Arkib NSTP
RESTORAN, kedai, gerai makan, kenderaan bersaji (food truck), penjaja tepi jalan, penjaja beredar, medan selera, pusat penjaja, gerai makan tepi jalan atau kiosk, kedai runcit dan kedai serbaneka dibenarkan beroperasi antara 6 pagi hingga 10 malam. FOTO Arkib NSTP

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Oktober 2020 @ 5:59 PM