Suraya Roslan dan Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Hanya dua orang saja dibenarkan satu meja di premis makanan di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, restoran, kedai, gerai makan, kenderaan bersaji (food truck), penjaja tepi jalan, penjaja beredar, medan selera, pusat penjaja, gerai makan tepi jalan atau kiosk, kedai runcit dan kedai serbaneka dibenarkan beroperasi.

"Waktu operasi adalah antara 6 pagi hingga 10 malam.

"Individu dibenarkan makan di premis makanan, namun perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sektor makanan," katanya pada sidang media secara virtual mengenai perkembangan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), hari ini.

Ismail Sabri berkata, pembelian makanan secara pandu lalu dan penghantaran adalah digalakkan.

Selain itu, beliau berkata, operasi pasar harian dibenarkan antara 6 pagi hingga 2 petang saja manakala pasar borong antara 4 pagi hingga 2 petang, pasar tani 6 pagi hingga 12 tengah hari), pasar malam (4 petang hingga 10 malam).

Bagaimanapun, katanya, operasi pasar tani dan pasar malam perlu mematuhi SOP ketat yang ditetapkan dengan pengawasan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).


Aktiviti Ekonomi dalam kawasan PKPB

• Semua aktiviti perniagaan, ekonomi dan industri boleh beroperasi.

• Restoran, kedai / gerai makan, kenderaan bersaji (food truck), penjaja tepi jalan, penjaja beredar, medan selera / pusat penjaja, gerai makan tepi jalan / kiosk, kedai runcit dan kedai serbaneka dibenarkan beroperasi antara 6.00 pagi hingga 10.00 malam.

• Pembelian makanan digalakkan secara pandu lalu, penghantaran (delivery) atau take-away sahaja. Walau bagaimanapun makan di premis makanan (dine in) adalah dibenarkan namun ianya terhad kepada 2 orang 1 meja dengan pematuhan SOP Sektor Makanan.

• Operasi pasar harian adalah antara 6 pagi hingga 2 petang saja.

• Operasi pasar borong adalah antara 4 pagi hingga 2 petang saja.

• Operasi pasar tani adalah antara 6 pagi hingga 12 tengah hari

• Operasi pasar malam adalah antara 4 petang hingga 10 malam. Walau bagaimanapun operasi pasar tani dan pasar malam perlu mematuhi SOP ketat yang telah pun ditetapkan dan perlu dengan pengawasan anggota Rela.

• Waktu operasi stesen minyak adalah antara 6 pagi hingga 10 malam (kecuali pengoperasian stesen minyak di lebuh raya dibenarkan beroperasi 24 jam)

• Perkhidmatan pengangkutan awam seperti bas henti-henti, bas ekspres, LRT, teksi/ e-hailing dibenarkan beroperasi.

• Perkhidmatan teksi/ e-hailing, (maksimum hanya 2 orang penumpang) dan penghantaran makanan dibenarkan beroperasi dari jam 6 pagi hingga 12 tengah malam.

• Bagi kenderaan yang membawa pekerja, mereka boleh membawa penumpang seperti yang telah ditetapkan sebelum ini.

Perubatan dan Kesihatan

• Waktu operasi klinik dan hospital Kerajaan dan swasta dibenarkan secara 24 jam.

• Farmasi dan kedai menjual ubat-ubatan beroperasi mulai 8 pagi hingga 11 malam.

Sektor Ekonomi Dan Industri

• Aktiviti sektor ekonomi dan industri di kawasan PKPB berjalan seperti yang ditetapkan dengan pematuhan SOP yang telah ditetapkan. Semua kenderaan berkaitan industri, perniagaan, perkilangan yang dibenarkan boleh beroperasi seperti biasa termasuk merentas daerah dan negeri.

Perikanan, Perladangan dan Pertanian

• Sektor perikanan, perladangan, pertanian, penternakan dan semua yang berkaitan dengan rantaian makanan dibenarkan beroperasi.

Pelabuhan dan Lapangan Terbang

• Aktiviti dan perkhidmatan di semua lapangan terbang dan pelabuhan dibenarkan beroperasi.

Aktiviti Keagamaan

• Mesyuarat bersetuju mencadangkan bagi mengimarahkan masjid untuk membenarkan azan dan mendirikan solat lima waktu dengan kehadiran 6 orang Jemaah yang ditentukan oleh jawatankuasa masjid termasuk Imam.

• Manakala pengurusan dan petugas di semua rumah ibadat bukan Islam dibenarkan seramai 6 orang saja.

• Walau bagaimanapun cadangan ini akan dibawa kepada Jakim dan Pihak Berkuasa Agama Negeri Selangor untuk dipersembahkan kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor untuk diperkenankan. Keputusan lanjut akan diumumkan oleh JAKIM dan Pihak Berkuasa Agama Negeri Selangor dalam masa terdekat.

Aktiviti Riadah, Rekreasi dan Budaya

• Semua aktiviti riadah, rekreasi dan budaya adalah tidak dibenarkan. Aktiviti hiburan termasuk kelab malam atau pub, pusat rekreasi, taman tema, indoor playground dan panggung wayang adalah tidak dibenarkan.

Aktiviti Sukan

• Aktiviti sukan secara individu, e-sports, sukan yang tidak bersentuhan dan sukan outdoor yang tidak melebihi 10 orang adalah DIBENARKAN.

• Aktiviti kolam renang, bersentuhan fizikal, sukan bertempur dan penganjuran sukan/kejohanan TIDAK DIBENARKAN.

• Acara dan pertandingan sukan dengan kehadiran penonton, dan acara dan pertandingan sukan yang membabitkan peserta dari luar negeri TIDAK DIBENARKAN.

• Bagi program latihan berpusat yang sedang dilaksanakan oleh Majlis Sukan Negara dan Majlis Sukan Negeri-negeri boleh diteruskan secara Quarantine Based Approach seperti yang dilaksanakan di Kompleks Majlis Sukan Negara Bukit Jalil dan Keramat, Akademi Badminton Malaysia Bukit Kiara dan Pusat Kecemerlangan Sukan Paralimpik Kampung Pandan.

Pendidikan

• Institut Pengajian Tinggi Awam & Swasta, Institut Latihan Kemahiran, sekolah, tadika, taska, pusat tahfiz dan pusat jagaan kanak-kanak ditutup dalam tempoh ini.

• Walau bagaimanapun bagi pelajar sekolah, IPTA, IPTS yang mengambil peperiksaan dengan institusi pengajian luar negara, mereka dibenarkan untuk hadir menduduki peperiksaan saja dan bukan untuk sesi pembelajaran.

Seminar / Bengkel / Persidangan

• Seminar/Bengkel/Kursus/Latihan/Persidangan/Ceramah dan aktiviti berkaitan dengan Meeting, Incentives, Conventions and Exhibitions (MICE) tidak dibenarkan. Latihan dalam perkhidmatan yang sedang berjalan boleh dilaksanakan hanya dalam kawasan latihan saja.

Mesyuarat

Mesyuarat perlu diadakan secara sidang video manakala mesyuarat secara bersemuka adalah tidak digalakkan.

Penganjuran Majlis Keramaian

Majlis Rasmi dan Tidak Rasmi Kerajaan dan Swasta, Majlis Sosial seperti kenduri-kendara, majlis perkahwinan dan pertunangan, majlis aqiqah, doa selamat, tahlil, sambutan ulang tahun, sambutan hari kelahiran, reunion dan lain-lain majlis sosial adalah tidak dibenarkan.

Pelancongan

Semua aktiviti pelancongan ke luar kawasan PKPB dan ke dalam kawasan PKPB adalah tidak dibenarkan.

GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Oktober 2020 @ 5:15 PM