WAN Rosdy. FOTO Arkib NSTP
WAN Rosdy. FOTO Arkib NSTP
Asrol Awang

Kuantan: Kerajaan Pahang menyambut baik pengumuman peralihan negeri itu bersama empat negeri lain ke Fasa Kedua Pelan Pemulihan Negara (PPN) berkuat kuasa Isnin ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, keputusan itu dibuat selepas kejayaan Pahang memenuhi nilai ambang ditetapkan termasuk jumlah kes harian positif baharu yang mencatatkan 200 kes, hari ini.

Menurutnya, dengan peralihan ke fasa kedua, beberapa sektor ekonomi lain dijangka dibenarkan beroperasi.

"Saya percaya peralihan ini menjadi kelegaan kepada mereka seperti penjaja pasar tani dan pasar pagi yang dibenarkan beroperasi mengikut syarat ditetapkan," katanya ketika dihubungi menerusi aplikasi WhatsApp, di sini.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan penduduk negeri itu bahawa peralihan fasa berkenaan tidak akan kekal jika lalai dan tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan sehingga menyebabkan nilai ambang kembali tinggi.

"Saya ingin memaklumkan peralihan ke Fasa Kedua PPN ini adalah secara menyeluruh.

"Bagi mana-mana mukim atau lokaliti yang berada di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), ia masih lagi tertakluk kepada SOP ditetapkan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Julai 2021 @ 7:38 PM