Sekitar kawasan yang ditutup dengan pagar berduri sekitar Kampung Batu Muda Tambahan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), mulai Ahad 23 Mei hingga 5 Jun ketika tinjauan di Sentul, Kuala Lumpur. FOTO AIZUDDIN SAAD
Sekitar kawasan yang ditutup dengan pagar berduri sekitar Kampung Batu Muda Tambahan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), mulai Ahad 23 Mei hingga 5 Jun ketika tinjauan di Sentul, Kuala Lumpur. FOTO AIZUDDIN SAAD
Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuala Lumpur: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara lokaliti lebih baik dan berkesan berbanding dilaksanakan secara bermukim.

Pakar kesihatan awam Dr Hanafiah Bashirun berkata, ujian saringan dan pengesanan lebih mudah dilaksanakan di lokaliti sasaran.

Menurutnya, maksud PKPD juga berubah apabila dilaksanakan mengikut mukim sedangkan ia sepatutnya secara bersasar di lokaliti yang mempunyai kes jangkitan tinggi.

"Apabila PKPD dilaksanakan secara mukim, sudah pasti kos saringan lebih tinggi dan sukar untuk mengesan golongan sasar.

"Jika PKPD di lokaliti, pergerakan keluar masuk tidak dibenarkan manakala ujian saringan lebih bersasar," katanya kepada Harian Metro.

Beliau berkata, perubahan perlaksanaan kawasan PKPD ini juga menyebabkan rakyat menjadi keliru.

Katanya, pergerakan di kawasan PKPD sepatutnya sangat minimum namun jika lihat di Ipoh sektor ekonomi masih dibenarkan.

"Apa maknanya PKPD jika pergerakan dibenarkan kerana masih ada sektor ekonomi yang beroperasi.

"Jika PKPD, keluar rumah juga sebenarnya tidak dibenarkan kerana tidak mahu penularan berlaku," katanya.

Beliau berkata, terma PKPD juga berubah menyebabkan rakyat keliru dan berkemungkinan akan melanggar prosedur operasi standard (SOP) kerana menganggap aktiviti dilakukan seperti pergerakan dibenarkan.

Semalam, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, PKPD hanya dilaksanakan di lokaliti yang merekodkan kes jangkitan tinggi seperti di kawasan perumahan dan perkampungan tanpa ada sebarang pergerakan keluar masuk.

Namun, di Perak, PKPD dilaksanakan di beberapa mukim seperti Mukim Hulu Kinta dan Mukim Taiping bermula semalam dengan aktiviti ekonomi penting beroperasi menyebabkan pergerakan masih berlaku.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Mei 2021 @ 3:49 PM