PETUGAS barisan hadapan membuat persediaan untuk menghantar menghantar pesakit kritikal ke wad (Unit Rawatan Rapi) ICU ketika tinjauan di MAEPS Resuscitation & Isolation Area (MARIA) di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) Bersepadu 2.0 MAEPS baru-baru ini. FOTO BERNAMA
PETUGAS barisan hadapan membuat persediaan untuk menghantar menghantar pesakit kritikal ke wad (Unit Rawatan Rapi) ICU ketika tinjauan di MAEPS Resuscitation & Isolation Area (MARIA) di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) Bersepadu 2.0 MAEPS baru-baru ini. FOTO BERNAMA
Suraya Roslan

Kuala Lumpur: Doktor kini terpaksa membuat pilihan sukar untuk mengutamakan katil di Unit Rawatan Rapi (ICU) bagi pesakit yang berpotensi sembuh lebih tinggi berbanding pesakit yang potensi sembuhnya lebih rendah.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, tindakan itu terpaksa diambil susulan situasi Covid-19 di Malaysia mencapai tahap kritikal.

Katanya, apabila kes aktif Covid-19 melebihi kemampuan dan kapasiti kesihatan untuk merawat, doktor terpaksa membuat pilihan sukar.

"Ini adalah implikasi yang tidak diingini oleh setiap petugas kesihatan, namun pilihan sukar ini akan terpaksa dilakukan apabila sistem kesihatan mencapai kapasiti maksimum.

"Bantulah kami supaya sistem kesihatan negara tidak lumpuh sama sekali.

"Semua pihak dari peringkat tertinggi hinggalah ke rakyat jelata perlu membantu memutuskan rantaian jangkitan virus Covid-19. Buatlah keputusan dan pilihan terbaik demi rakyat dan negara," katanya menerusi Facebook rasminya.

Dr Noor Hisham berkata, semalam juga mencatatkan satu detik hitam buat negara apabila mencatatkan kes kematian harian Covid-19 yang tertinggi sejak pandemik itu bermula.

"Dengan pertambahan 98 kes kematian pada hari ini (semalam), ia membawa jumlah keseluruhan kes kematian Covid-19 ke angka 2,650.

"Daripada jumlah ini, 471 kematian berlaku pada 2020 manakala 2,179 kematian dicatatkan dalam tempoh lima bulan pertama 2021.

"Dalam tempoh 1 hingga 29 Mei lalu saja, sebanyak 1,144 kematian disebabkan Covid-19 direkodkan, ini adalah jumlah kes kematian bulanan yang paling tinggi setakat ini," katanya.

Katanya, bilik simpanan mayat di hospital Kementerian Kesihatan (KKM) kini mula penuh dan semakin sukar untuk menampung penambahan mendadak jumlah jenazah atau jasad susulan peningkatan kematian akibat Covid-19.

"Pihak perkhidmatan perubatan forensik menyediakan kontena khas khusus sama ada untuk jenazah atau jasad pesakit Covid-19 atau bukan di lima hospital iaitu Hospital Selayang, Hospital Serdang, Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru, Hospital Queen Elizabeth I dan Hospital Sungai Buloh.

"Satu 'fleximort' khusus untuk jenazah atau jasad pesakit Covid-19 di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang.

"Setiap kontena khas ini boleh menampung maksimum 20 mayat manakala bagi 'fleximort' maksimum 12 mayat," katanya.

Menurutnya, dalam mengimbangi nyawa dan kehidupan adalah penting untuk semua pihak sentiasa meneliti semula keutamaan mereka mengikut keadaan semasa.

"Setiap pihak yang berkepentingan, pastinya mempunyai keutamaan masing-masing.

"Namun bagi KKM dan petugas kesihatan di seluruh negara, keutamaan kami adalah kesihatan awam dan menyelamatkan nyawa.

"Marilah kita kekal duduk di rumah. Kita jaga kita. Pastikan tiada pergerakan dan tiada perhimpunan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Mei 2021 @ 3:45 PM