FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
AFP

Beirut: Kementerian Kesihatan Lubnan memberi amaran bahawa hospital di negara berkenaan kini mencapai kapasiti maksimum untuk merawat pesakit Covid-19.

Ini kerana ia kini menerima terlalu ramai pesakit bukan saja untuk rawatan Covid-19 malah, turut meliputi mangsa yang cedera akibat letupan Beirut baru-baru ini.

Menterinya, Hamad Hassan dalam sidang media berkata, hospital kerajaan dan swasta khususnya di ibu negara mempunyai kapasiti terhad terutama jumlah katil di unit rawatan rapi dan alat bantuan pernafasan.

"Kita berada dalam keadaan membimbangkan dan tidak boleh membuang masa," katanya.

Beliau turut memberi amaran kepada pihak berkuasa untuk mengambil keputusan sukar dengan melaksanakan sekatan pergerakan selama dua minggu bagi mengekang penularan wabak.

Lubnan mencatatkan peningkatan kes jangkitan dan kematian berkaitan Covid-19 dalam beberapa minggu ini, dengan rekod baharu selepas insiden letupan 4 Ogos lalu.

Ahad lalu, ia merekodkan 439 kes jangkitan baharu menjadikan jumlah keseluruhan 8,881 kes termasuk 103 kematian.

"Di Beirut, unit rawatan rapi dan jabatan yang mengendalikan kes Covid-19 di hospital kerajaan sudah penuh.

"Di kebanyakan hospital swasta yang menerima pesakit Covid-19, jumlah katil sedia ada juga kini dipenuhi pesakit virus berkenaan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Ogos 2020 @ 10:03 PM