Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Nerus: Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) menubuhkan satu pasukan khas dikenali sebagai pasukan Covid Buster dalam usaha membendung penularan Covid-19.

Naib Canselor UniSZA Prof Datuk Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan berkata, pasukan yang ditubuhkan sejak Julai tahun lalu itu susulan terdapat kes positif Covid-19 dalam kalangan kakitangan universiti berkenaan.

Katanya, kes positif Covid-19 yang dilaporkan di dalam UniSZA bukan berlaku di dalam universiti sebaliknya semua kes positif itu mendapat jangkitan dari luar.

"Bermula daripada gelombang pertama hingga gelombang ketiga hari ini, terdapat beberapa kes positif dalam kalangan kakitangan UniSZA.

"Apabila ada kes, kita akan tutup kawasan atau pejabat untuk proses sanitasi yang mana pada peringkat awal, kita mendapatkan latihan daripada pihak bomba termasuk segi bancuhan.

"Kita sedia maklum dengan kekangan dihadapi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), jadi dengan adanya pasukan ini, kita dapat melakukan proses sanitasi itu sendiri," katanya ketika memantau proses sanitasi di Dewan Al-Muktafi Billah Shah di sini hari ini.

Pasukan khas  dikenali sebagai pasukan Covid Buster melakukan proses sanitasi di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dalam usaha membendung penularan Covid-19. FOTO GHAZALI KORI
Pasukan khas dikenali sebagai pasukan Covid Buster melakukan proses sanitasi di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dalam usaha membendung penularan Covid-19. FOTO GHAZALI KORI

Dr Hassan Basri berkata, pasukan seramai 20 orang itu ditubuhkan Pusat Pengurusan Makmal Berpusat dengan kerjasama Jawatankuasa Task-Force Covid-19 UniSZA, Pusat Pengurusan Harta Benda (PPHB) dan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP).

Katanya, selain melakukan sanitasi di tiga kampus UniSZA, pasukan Covid Buster turut melakukan proses sanitasi di surau-surau di kawasan Dewan Undangan Negeri Batu Rakit.

"Kita turut bersedia membantu melakukan sanitasi di kawasan lain sekiranya ada permintaan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 January 2021 @ 2:39 PM