Ahmad Zahid Hamidi.
Ahmad Zahid Hamidi.
Oleh Mohd Nasaruddin Parzi


Kuala Lumpur: Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, menjalani kuarantin kendiri di rumahnya selepas beberapa pemimpin Umno disahkan positif Covid-19.

Ahmad Zahid memaklumkan baru selesai menjalani ujian saringan Covid-19 di Hospital Avisena, Shah Alam, Selangor jam 11 pagi tadi.

"Buat sementara waktu ini, saya mengkuarantinkan diri di rumah.

"Doakan semoga saya dan seluruh ahli keluarga saya tidak dijangkiti wabak Covid-19," katanya menerusi ciapan di Twitternya.

Terdahulu, Ahmad Zahid dilaporkan mengadakan pertemuan dengan beberapa pemimpin Umno bahagian di pejabatnya di Menara Dato' Onn, termasuk dihadiri Ahli Parlimen Pasir Salak Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, beberapa hari lalu.

Tajuddin yang juga Pengerusi Prasarana Berhad hari ini, disahkan positif Covid-19 dan sedang menjalani kuarantin di rumahnya.

Selain Tajuddin, Ahli Parlimen Padang Rengas Datuk Seri Mohamad Nazri Aziz juga positif Covid-19 dan sedang menjalani kuarantin diri di sebuah hospital di Kota Bharu, Kelantan.

Beberapa pemimpin Umno yang hadir ke ibu pejabat parti itu sebelum ini juga diminta untuk menjalani ujian saringan Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 January 2021 @ 5:32 PM