GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Kira-kira 20 sekatan jalan raya (SJR) secara 'mobile' atau tidak tetap didirikan di lokasi berbeza di Selangor setiap hari selain 47 SJR tetap bagi memastikan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dipatuhi penduduk di negeri ini.

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, polis Selangor sentiasa komited melaksanakan pemantauan agar pematuhan SOP PKP dalam kalangan masyarakat dapat dipertingkatkan dari masa ke semasa.

"Jumlah SJR tidak tetap setiap hari, tetapi secara keseluruhannya bilangan yang kita ada 47 SJR yang didirikan secara kekal di seluruh Selangor.

"Pada masa sama, kita ada SJR 'mobile', maksudnya yang kita dirikan secara ad-hoc, tidak tetap dan dipindahkan dari masa ke semasa (di lokasi berbeza). Ini bilangannya antara 14 ke 20 sekatan setiap hari," katanya ketika ditanya mengenai penguatkuasaan pematuhan SOP PKP terkini kepada media, semalam.

Arjunaidi berkata, polis Selangor juga mempunyai 825 pasukan pemantauan setiap hari di seluruh negeri ini sepanjang penguatkuasaan PKP ini.

"Jadi maknanya kita ada tambahan 20 hingga 25 pasukan pemantau setiap hari bekerja," katanya.

Kerajaan memutuskan untuk melaksanakan PKP 3.0 di seluruh negara dari 12 Mei sehingga 7 Jun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Mei 2021 @ 10:34 AM